Peribahasa: Bagai Aur Dengan Tebing

Bagai Aur Dengan Tebing

Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.

Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong.

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit”.

Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka.

_______________________________________________

Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas.
1. “Bagai Aur Dengan Tebing” bermaksud tolong-menolong.
2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja.
4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar.
5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut