Sambutan Bulan Bahasa 2010

Jumaat, 29 Oktober 2010 - Sekolah Kebangsaan Seri Tualang bertuah kerana dipilih sebagai tempat Sambutan Bulan Bahasa 2010 Peringkat Daerah Temerloh. Dalam majlis itu pelajar Tahun Enam SK Seri Tualang diberi peluang untuk menyampaikan Persembahan Koir.

Di bawah ialah gambar-gambar peserta koir itu yang sempat aku ambil.


Besar dah kau orang ye.

Nampak macam baik je. Mudah-mudahan jadi baiklah untuk selama-lamanya.

Dengan gaya tersendiri.

Bersedia untuk naik ke pentas.

Semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat. Amin!!!

Surat Kiriman Rasmi: Kempen Kebersihan dan Keceriaan Sekolah


Sekolah Kebangsaan Merapoh,
28000 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang.
____________________________________________________________________________

Ibu bapa dan Penjaga Murid,
Sekolah Kebangsaan Merapoh,
28000 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang.                                                                                                                         1 OKTOBER 2010


Tuan,


Kempen Kebersihan dan Keceriaan Sekolah


Merujuki perkara di atas, pihak sekolah ini akan menganjurkan Kempen kebersihan dan Keceriaan Sekolah sepanjang bulan ini.

2.    Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk menyemai kesedaran dalam kalangan murid tentang kepentingan kebersihan dan keceriaan sekolah. Selain itu, pihak sekolah berharap agar kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa atau penjaga melalui pelbagai kegiatan sepanjang kempen ini dijalankan.

3.    Antara kegiatan yang akan dijalankan bersempena dengan kempen ini termasuklah aktiviti gotong-royong, pertandingan mewarna, pertandingan kelas terbersih, ceramah kesihatan, pertandingan mengarang dan program kitar semula.

4.    Kegiatan gotong-royong dan kitar semula akan turut disertai oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Kegiatan ini diharapkan dapat memastikan kawasan sekolah tidak dicemari oleh sampah dan kawasan pembiakan nyamukdapat dihapuskan.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amat kami hargai. Sekian, terima kasih.

Saya yang menurut perintah,

............................................
(ABDUL MALEK BIN IBRAHIM)
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis, Pahang.

Surat Kiriman Rasmi: Penghargaan dan Pesanan Buku


Mohd Tarmizi bin Wahid
No. 74, Kampung Merapoh,
28000 Kuala Lipis,
Pahang.
____________________________________________________________________________

Pengurus Penerbitan,
Pustaka Mayaraya,
45, Jalan Petaling 5,
47500 Petaling Jaya.                                                                               12 DISEMBER 2011

Tuan,

Penghargaan dan Pesanan Buku

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada syarikat tuan kerana begitu aktif menerbitkan buku-buku akademik yang bermutu. Banyak murid termasuk saya yang memperoleh manfaat daripada penerbitan ini kerana pencapaian saya semakin memberangsangkan.

2.    Untuk maklumat tuan, saya telah mendapat 5A dalam UPSR tahun yang lalu. Kejayaan ini saya peroleh hasil daripada bimbingan guru yang berdedikasi, perbincangan dengan rakan, dan latihan serta ulang kaji yang berterusan. Semasa saya mengulang kaji pelajaran, buku-buku terbitan syarikat tuan menjadi pilihan. Tampaknya pilihan saya ini tepat. Hal ini demikian kerana keputusan peperiksaan saya yang kurang memuaskan sebelum ini telah dapat diperbaiki.

3.    Tahun hadapan saya akan belajar di sekolah menengah pula. Saya berhasrat untuk terus menggunakan buku-buku terbitan syarikat tuan. Jika tidak berhalangan, sudilah kiranya pihak tuan mengirimi saya senarai buku PMR terbitan syarikat tuan berserta borang pesanannya.

Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Tahniah kepada tuan dan kakitangan syarikat tuan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

............................
(MOHD TARMIZI BIN WAHID)

Temu Ramah/Dialog: Kejohanan Silat Olahraga Peringkat Negeri Pahang



Wartawan: Assalamualaikum, Cik Nurul.

Nurul       : Waalaikumussalam.

Wartawan: Tahniah saya ucapkan atas kejayaan Cik Nurul dalam Kejohanan Silat Olahraga
                 Peringkat Negeri Pahang ini.

Azura      : Terima kasih. Sebenarnya kejayaan ini menjadi milik pesilat-pesilat yang lain dan
                 jurulatih saya juga. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa memberikan dorongan dan
                 semangat kepada saya dari masa ke masa bagi meningkatkan prestasi.

Wartawan: Bagaimanakah perasaan Cik Nurul apabila berjaya dalam perlawanan akhir itu?

Nurul       : Saya seolah-olah tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang. Saya berasa
                 sangat gembira setelah berjaya dalam perlawanan akhir tersebut. Saya memang sentiasa
                 berwaspada dalam perlawanan itu kerana saya tahu, bukan mudah mengalahkannya.
                 Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga mengalahkannya.

Wartawan: Mengapakah Cik Nurul merasakan pesilat itu tidak mudah untuk dikalahkan?

Nurul       : Saya berasa demikian kerana pesilat itu adalah juara dalam pertandingan ini pada tahun
                 lepas.

Wartawan: Saya difahamkan bahawa Cik Nurul lebih suka berlatih dengan pesilat lelaki.
                 Mengapakah demikian halnya?

Nurul       : Saya menginginkan kelainan dalam latihan. Saya percaya bahawa cara itu akan
                 menjadikan diri saya lebih yakin apabila berhadapan dengan lawan yang lebih besar
                 tubuhnya.

Wartawan: Akhir sekali, apakah harapan Cik Nurul pada masa depan?

Nurul       : Saya berharap agar kejayaan saya ini akan menjadi titik tolak bagi saya dan rakan-rakan
                 pesilat yang lain untuk terus berjaya dalam mana-mana kejohanan yang lebih besar.

Wartawan: Baiklah CiK Nurul. Terima kasih kerana sudi untuk ditemu ramah.

Nurul       : Sama-sama.

Surat Kiriman Rasmi: Memohon Kemudahan Peminjaman Buku Latihan dan Rujukan



Tulis sepucuk surat kepada pihak sekolah untuk memohon peminjaman buku latihan dan rujukan. Berikan alasan-alasan kamu memohon pinjaman tersebut.


HASIF ZAKWAN BIN MOHD HAMIDI
No.7, TJ 1/8, Taman Temerloh Jaya,
28000 Temerloh,
PAHANG. DARUL MAKMUR
____________________________________________________________________________

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
Temerloh,
PAHANG.                                                                                             28 FEBRUARI 2010


Tuan,

Memohon Kemudahan Peminjaman Buku Latihan dan Rujukan

Berhubung perkara di atas, saya Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi, murid Tahun 5 Amanah, ingin memohon agar diberikan kemudahan peminjaman buku latihan dan rujukan yang saya dapati banyak terdapat di bilik-bilik panitia mata pelajaran di Sekolah Kebangsaan Seri Tualang.

2.    Ini kerana hampir 2 bulan lagi saya akan menghadapi peperiksaan akhir tahun. Saya berharap dengan peminjaman buku-buku itu nanti akan dapat membantu saya semasa mengulangkan kaji pelajaran.

3.    Bersama-sama ini saya senaraikan buku-buku latihan dan rujukan yang diperlukan:


                                I.            Buku latihan dan rujukan Bahasa Melayu Tahun 5.
                               II.            Buku latihan dan rujukan Bahasa Inggeris Tahun 5.
                              III.            Buku latihan dan rujukan Matematik Tahun 5.
                              IV.            Buku latihan dan rujukan Sains Tahun 5.
                               V.            Buku latihan dan rujukan Pendidikan Agama Islam Tahun 5.

5.    Saya berharap agar pihak tuan mempertimbangkan pemohonan saya ini. Kerjasama dan keperihatinan tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


................................................
(Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi)



***********************************************************

Karangan ini telah diemailkan oleh Adik Hasif Zakwan dari SK Seri Tualang, Temerloh. Kami mengalu-alukan sumbangan karangan daripada adik-adik semua. Terima kasih atas sumbangan karangan kalian.

Cerita: Berani


Kami ingin menjadi insan yang berakhlak mulia.

Tulis karangan yang bertajuk 'Berani'. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan 
-tiba-tiba perut sakit pada waktu rehat
-segera ke tandas
-terlihat sekumpulan pelajar menconteng dinding sekolah 

Perenggan ke-2
-menghampiri kumpulan pelajar tersebut
-rupa-rupanya rakan sekelas
-menegur mereka tetapi dimarahi
-diberi amaran supaya tidak memberitahu guru

Perenggan ke-3 
-beredar
-memberitahu guru disiplin  
-tidak mahu perkara itu terus berlaku
-mereka dipanggil ke pejabat

Perenggan ke-4 
-mereka ditegur dan diberi nasihat
-mereka perlu memadam semula contengan
-mereka insaf

Penutup   
-mereka datang meminta maaf kepadaku
-mereka menjadi kawan baikku

* * * * *

Berani

Pada waktu rehat, tiba-tiba sahaja perutku terasa sakit lalu aku pun segara menuju ke tandas. Sewaktu perjalanan ke situ, aku ternampak beberapa orang murid sedang menconteng dinding sekolah.

Aku menghampiri mereka untuk menghalang perbuatan itu. Rupa-rupanya mereka ialah rakan sekelasku iaitu Aizat, Farid dan Azwan. Aku terus menegur dan menasihati mereka supaya segera menghentikan perbuatan tersebut. Tindakan ku ini menyebabkan mereka marah lalu tanpaku duga, Aizat menumbukku. Mujurlah aku sempat mengelak. Kemudian, mereka memberi amaran supaya aku merahsiakan peristiwa itu jika tidak mahu diapa-apakan mereka.

Selepas itu, aku pun terus beredar menuju ke tandas. Selepas ke tandas, aku segera mencari guru disiplin iaitu Cikgu Nadirah. Amaran mereka tidak aku endahkan kerana aku tidak mahu kegiatan vandalisme terus berlaku di sekolah kami. Sejurus kemudian, Cikgu Nadirah memanggil mereka ke pejabat dan mereka kelihatan amat takut.

Di pejabat, Cikgu Nadirah menasihati mereka supaya tidak melakukan perbuatan jahat itu lagi jika tidak mahu dikenakan tindakan yang lebih tegas. Mereka juga dikehendaki memadamkan semula contengan di dinding sekolah. Nasihat Cikgu Nadirah telah menyebabkan mereka insaf.

Beberapa hari kemudian, Azwan, Aizat dan Farid datang untuk meminta maaf kepadaku. Semenjak hari itu mereka menjadi kawan karibku.

Rencana: Kebaikan-kebaikan Perpustakaan


Perpustakaan Negara

Perpustakaan ialah suatu tempat terkumpulnya bahan-bahan bacaan. Ramai orang mengunjungi perpustakaan kerana di situ mereka boleh membaca bahan-bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, surat khabar dan lain-lain lagi secara percuma. Oleh itu, sudah tentulah perpustakaan memberi banyak kebaikannya kepada kita semua.

Di perpustakaan, kita akan dapat menambah ilmu pegatahuan. Melalui pembacaan di situ, sudah tentu pengetahuan kita akan bertambah seperti mengetahui peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.

Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah dengan mengunjungi perpustakaan. Ini mengelakkan kita daripada membuang masa secara sia-sia serta menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti melepak dan sebagainya.

Perpustakaan juga dapat membentuk disiplin para pelajar. Ini kerana di perpustakaan terdapat pelbagai peraturan antaranya mesti senyap, memulangkan buku dalam tempohnya dan menjaga kebersihan perpustakaan. Peraturan ini akan mendisiplinkan diri kita kerana jika ingkar, mungkin kita akan didenda.

Di samping itu, pembacaan bahan-bahan bacaan di perpustakaan akan dapat menambah pembedaharaan kata kita. Ini pasti akan membantu kita bertutur dan menulis karangan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap suka mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat kita perolehi.

Rencana: Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid-murid

Jangan salahkan kerusi ini jika awak yang sebenarnya pemalas.


Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid-murid

Disiplin amat penting kepada murid-murid. Apabila murid-murid mematuhi peraturan sekolah, ini bermakna mereka telah berdisiplin. Antara peraturan sekolah yang mesti dipatuhi ialah menepati masa, memakai lencana, berambut pendek dan lain-lain lagi.

    Murid-murid yang berdisiplin akan mewujudkan keadaan yang lebih selesa di dalam kelas. Mereka akan sentiasa menjaga tingkah laku agar tidak melanggar peraturan sekolah seperti berbuat bising, bergaduh, membuli  dan seumpamanya. Sikap ini dapat mengelakkan mereka daripada mendapat masalah seperti di denda oleh guru, tidak dipercayai, ketinggalan dalam pelajaran dan sebagainya yang boleh menganggu pelajaran mereka

    Murid-murid yang menjaga disiplin juga kebiasaannya akan cemerlang dalam pelajaran. Sudah pasti murid-murid akan lebih selesa belajar dalam suasana disiplin mereka terkawal. Hal ini membolehkan mereka memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Apabila itu berlaku, sudah tentulah mereka lebih mudah memahami ilmu yang disampai oleh guru. Oleh itu, timbullah keyakinan diri mereka untuk menguasai pelajaran. Keadaan ini akan mendorong mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan natijahnya, mereka akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Kejayaan ini tentulah akan mencerahkan masa depan mereka.

    Selain itu, murid-murid yang berdisiplin akan disukai dan disayangi oleh guru-guru serta rakan-rakan. Oleh sebab itulah, mereka akan dipilih sebagai pemimpin seperti pengawas, ketua darjah, pengawas perpustakaan dan lain-lain lagi. Hal ini mengasah bakat kepimpinan mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.  

    Di samping itu, murid-murid yang menjaga disiplinnya tidak mudah terjerumus dalam masalah besar atau masalah yang berpanjangan. Hal ini disebabkan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan walaupun pada ketika mereka diganggu atau dibuli oleh pelajar lain dan sebagainya. Mereka tidak akan bertindak mengikut perasaan atau diluar batasan dengan mengenepikan peraturan.  Hal ini mengelakkan mereka daripada masalah yang lebih besar atau berpanjangan seperti pergaduhan, mencederakan orang lain dan sebagainya.  

Kesimpulannya, disiplin amat penting kepada murid-murid. Murid yang berdisiplin akan cemerlang manakala murid yang tidak berdisiplin akan merugikan diri sendiri. Oleh itu, amalkan disiplin diri untuk kebaikan diri kita pada masa hadapan.

Syarahan: Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar.


Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin sekalian,

Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan. Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar alam sekitar supaya mereka serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh disiarkan melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio. Kempen-kempen ini akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong dapat membantu orang ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab. Jika mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Hadirin sekalian,

Tanggunjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.

Sekian, terima kasih.

Kenangan SKST 2009

Banyak gambar lama  pelajar SK Seri Tualang dalam kamera aku ni. Nak buang rasa sayang. Jadi aku akan paste kan gambar-gambar yang aku kira menarik di blog ni dari masa ke semasa.

Ini antara beberapa keping gambar pelajar SK Seri Tualang yang aku ambil pada tahun lepas (2009).

Lawatan Ke Melaka

Tengok zirafah di Zoo Melaka


Bergambar di A Famosa

Masih di Zoo Melaka

Berbaris untuk masuk ke Zoo Melaka.


Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu

Gaya bergambar yang tersendiri


Hasif sedang bercerita


Dengarlah ceritaku ini. Azreen


Macam best je cerita ni



Adharie sedang membaca sajak 

Peribahasa: Bagai Aur Dengan Tebing

Bagai Aur Dengan Tebing

Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.

Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong.

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit”.

Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka.

_______________________________________________

Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas.
1. “Bagai Aur Dengan Tebing” bermaksud tolong-menolong.
2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja.
4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar.
5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.

Peribahasa: Biar Lambat Asal Selamat

Biar Lambat Asal Selamat

Peribahasa ‘Biar Lambat Asal Selamat’ membawa maksud sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat biarlah dibuat dengan cermat dan berhati-hati supaya pekerjaan itu berhasil dengan baik.

Ada sesetengah orang kurang sabar dalam melakukan sesuatu kerana pelbagai sebab sehingga mereka mengabaikan akibatnya.

Sebagai contoh, seorang pemandu yang memandu kenderaannya dengan laju kerana ingin segera sampai ke destinasi, akhir mengalami kemalangan di jalan raya.

Setelah terjadi kemalangan, pemandu itu tentu menyelasal kerana memandu dengan laju. Ketika itulah dia akan terfikir perkara itu tidak akan terjadi jika dia sabar dan cermat ketika memandu.

Peribahasa di atas adalah satu contoh yang paling baik dalam kehidupan kita seharian. Orang yang selalu mengamalkan peribahasa ini tidak mudah ditimpa bencana dalam setiap tindakan yang dilakukannya, kecualilah jika itu sudah ditakdirkan tuhan.

Perbahasan: Tinggal di asrama lebih baik daripada tinggal di rumah

Kamu memasuki pertandingan perbahasan yang bertajuk 'Tinggal di asrama lebih baik daripada tinggal di rumah'. Kamu sebagai pihak percadangan.

***   ***   ***   ***   ***

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan para pembangkang, guru besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian.Tajuk perbahasan saya pada pagi ini ialah 'Tinggal di asrama lebih baik daripada tinggal di rumah'.

Hadirin sekalian,

Tinggal di asrama lebih baik jika dibandingkan dengan tinggal di rumah kerana di asrama murid-murid akan belajar berdikari. Pelajar asrama perlu melakukan kerja-kerja harian seperti membasuh baju, menggosok baju, membersihkan tempat tidur dan lain-lain lagi tanpa bantuan daripada keluarga. Oleh itu, mereka lebih cepat matang dan berkeyakinan dalam membuat sebarang keputusan.

Selain itu, kehidupan di asrama dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk memupuk nilai-nilai persahabatan yang kukuh. Mereka dapat bergaul dengan rakan-rakan, berkongsi masalah, saling bantu-membantu dan lain-lain lagi.

Hadiri sekalian,

Pelajar yang tinggal di asrama dapat belajar secara berkumpulan. Oleh itu, mereka dapat berbincang, bertukar-tukar pendapat dan tidak mudah rasa bosan dalam pelajaran. Oleh sebab itu, mereka akan lebih cemerlang dalam pelajaran.

Tambahan pula, pelajar yang tinggal di asrama juga akan lebih berdisiplin. Di asrama terdapat pelbagai peraturan yang mesti dipatuhi seperti menepati masa, menepati jadual yang ditetapkan, menghormati ketua dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, saya bagi pihak pencadang tetap menyatakan bahawa tinggal di asrama lebih baik daripada tinggal di rumah.

Sekian, terima kasih.

Peribahasa: Kalau Tak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya

Amiera merupakan pelajar tingkatan lima. Dia merupakan anak tunggal dan tinggal bersama ibunya setelah kematian ayahnya sejak dia berumur enam tahun lagi.

Sejak kematian ayahnya, kehidupan Amiera sangat daif. Ibunya terpaksa menjaja kuih untuk menyara hidup mereka berdua. Sejak darjah lima lagi, Amiera mula menolong ibunya menjual kuih-kuih pada setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. Dia sedar, dia perlu membantu ibunya yang semakin tua untuk mencari nafkah bagi mereka berdua.  

Pada waktu malam, Amiera menolong ibunya membuat kuih. Dalam masa yang sama juga, Amiera berusaha mengulang kaji pelajaran. Rakan-rakan Amiera yang mampu akan pergi ke kelas bimbingan di pekan tetapi Amiera hanya belajar di rumah tanpa bimbingan daripada sesiapa.  Dia percaya, "Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Oleh sebab itu, Amiera bertekad untuk berlajar bersungguh-sungguh.

Pada hari Isnin, guru besar memberitahu bahawa peperiksaan SPM akan bermula pada minggu hadapan. Guru besar berharap agar semua calon SPM di sekolahnya mengulang kaji pelajaran dengan lebih tekun lagi. Amiera berusaha bersungguh-sungguh untuk mengulang kaji pelajaranya. Ibunya pula sentiasa berdoa dan memberi dorongan kepadanya agar Amiera berjaya mendapat keputusan yang cemerlang nanti.

Berkat doanya dan ibunya serta usaha Amiera yang gigih, dia telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM itu. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading. Amiera amat bersyukur dan berasa sungguh gembira.

Guru-guru dan rakan-rakannya sangat bangga atas kejayaan Amiera. Apatah lagi ibunya yang amat mengharapkan kejayaan anaknya itu. Amiera berjanji akan terus berusaha supaya dapat membantu ibunya kelak. Akhirnya, Amiera telah mendapat segulung ijazah dan pekerjaan yang terjamin. Kini ibunya hidup lebih senang bersamanya.

Maulidul Rasul


"Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW"

Ini aku nak bercakap sikit tentang motto Maulidur Rasul kita pada tahun ini iaitu "Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW" dari sudut pandangan aku yang jahil nilah. Kalau aku tersalah, jangan keberatan mengirim teguran yang positif.

 Aku ni memang sayang sangat kepada Baginda SAW tetapi sunnah Rasul ni kurang sangat aku amalkan. Antara sunnah Rasulullah yang aku tahu ialah  Baginda tidak melewat-lewatkan sembahyang, dan sembahyang berjemaah. Aku ni selalu sangat lewat sembahyang dan jarang sangat sembahyang berjemaah di masjid. Kalaulah ayah aku masih hidup, tentu sedih dia.

Oleh kerana selalu sangat buat perkara tu hingga kadang -kadang perkara tu aku anggap remeh dan biasa saje. Walhal, itulah tuntutan yang utama atau asas Baginda Rasulullah SAW supaya umatnya sentiasa mendapat keberkatan daripda Allah SWT.

Susah hati juga bila memikirkan perkara ni dan aku rasa ramai juga orang lain yang macam aku ni. Sedar, susah hati tapi masih bertangguh untuk laksanakan. Boleh ke agaknya kita nanti menjadi umat Islam yang cemerlang dan dapat membimbing keluarga dan anak cucu kita ke arah menghayati Islam jika kita terus begini.

Pada pendapat aku, nak menjadi seorang yang Menghidupkan Sunnah Rasullulah, asasnya sembahyang nilah. Kalau kita tak ambil berat tentang sembahyang, macam mana Allah nak mengambil berat tentang kita. Minta dijauhlah daripada diriku dan kelurgaku ini dipinggirkan oleh  Allah SWT. Jika itu berlaku mampuslah aku.

Daripada sudut yang lebih luas, jika diperingkat keluarga dah rosak atau kurang penghayatan Islam, tentu diperingkat ummah pun akan rosak sedikit demi sedikit. Aku juga semakin hari semakin risau bila melihat budaya masyarakat sekarang. Ramai mak ayah tak menutup aurat, anak lebih-lebih lagilah. Makan ikut 'dan' saja, ambil remeh tentang isu halal, sedangkan itu akan jadi darah daging dan hati kita. Bersikap individualistik, lantaklah apa nak jadi pada orang lain dan tak boleh menerima kritikan dan teguran. Tidak peka kepada sensitiviti Islam, galak membuat maksiat dan banyak lagilah. Kudis-kudis inilah yang tidak di sedari oleh ramai umat Islam sekarang yang semakin membesar dari masa ke semasa.  

Fikirkanlah kalau kita lengoh sembahyang, kemudian suruh anak cepat sembahyang, pelik je jadinya. Begitu juga dengan aurat, suruh anak tutup aurat tp. kita sendiri tutup lebih kurang je. Rambut tutup tapi tapi punggung bulat je, boleh ke? Ha, ha, aku selalu terpadang ke bentuk punggung perempuan. Nak buat macam mana dah nyata merata-rata. Ustaz atau ustazah ajar anak kita jangan pakai seluar ketat dan jarang tp. tengok keluarga tutup cara lain, rambut je tutup tapi kain jarang, seluar ketat. Ayah abang pula suka keluar berjalan pakai seluar pendek.  Kelirulah si anak tadikan? 

Tak mustahil akhirnya anak kita tu terus tak tutup aurat sebab fikirnya tutup macam gitupun sama juga.Akhirnya tindakan kita akan diwarisi ke anak cucu cicik kita, malah menjadi semakin jauh dari penghayatan Islam. Trend pakai seluar pendek dan ketat ni dah menjadi labut, tengoklah di mana-mana. Tak risau ke kita atau rasa biasa je?

Sebenarnya aku ni risau ke semualah, diri aku, keluarga, saudara mara dan masyarakat dan kepada umat Islam yang menjadi saudara seagamaku. Aku berharap kerisauan aku ni dinilai oleh Allah yang menjadi tempat aku bergantung, tiada yang lain lagi. Ampunilah daku Ya! Allah.

Walaubagaimanapun aku besyukur kerana dulu aku merokok tetapi Alhamdulillah dah hampir 2 tahun berhenti dari  mengisap menda yang tak berfaedah tu. Aku rasa itulah satu-satunya perubahan yang aku dapat selepas balik dari menunaikan Umrah. Dulu aku berbelanja sampai rm10 sehari untuk membeli rokok je. Aku ni bukan reti beli rokok yang murah-murah, Dunhill juga aku cari walaupun mahal. Minta-minta janganlah aku terjerumus lagi dengan gejala merokok ni. Jadi ni aku kira satu Sunnah Rasulullah yang telah aku amalkan, insyaallah jika beserta dengan niat yang ikhlas. 

Ini luahan hati aku sahaja, tidak terlintas untuk mengait atau menyentuh mana-mana pihak. Kita ni ada satu tanggungjawab iaitu berdakwah atau mudahnya menasihati atau mengajak orang berbuat baik. Aku berazam untuk mengubah cara hidup ku. Amin.

Perbincangan: Kebaikan dan keburukan menonton televisyen


Televisyen merupakan alat ciptaan manusia hasil daripada perkembangan sains dan teknologi. Alat perhubungan ini amat popular pada masa kini. 

Menonton televisyen mempunyai banyak kelebihan kerana televisyen menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Melaluinya, kita dapat mengetahui cara dan gaya hidup masyarakat lain.

Selain itu, terdapat juga rancangan-rancangan bercorak pendidikan yang disiarkan misalnya rencana. Kita akan memperolehi ilmu yang berfaedah daripada siri tersebut.

Namun begitu, menonton televisyen juga boleh melalaikan dan membuang masa jika kita menonton tanpa kawalan. Sebagai pelajar, ini sudah tentu merugikan kita dalam pelajaran.

Kesimpulannya, kita boleh menonton televisyen tetapi mesti mengetahui batas-batasnya kerana televisyen mempunyai kebaikan dan keburukan.

Perbincangan: Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar

Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar. Di kampung banyak keaslian dan
kecantikan alam semula jadi yang tidak terdapat di bandar.

Saya suka tinggal di kampung kerana di sini terdapat pokok-pokok yang menghijau, burung-burung
berkicauan dan sungai-sungai yang jernih airnya. Di kampung suasananya aman dan damai. Udaranya bersih dan nyaman, jauh daripada pencemaran udara. Oleh itu ti nggal di kampung lebih sihat daripada tinggal di bandar.

Tinggal di kampung boleh menjimatkan wang. Kita boleh menggunakan air yang tidak berbayar seperti air perigi yang sejuk dan jernih untuk di minum, membasuh, dan mandi. Kita juga boleh menanam dan makan sayur-sayuran yang segar.

Orang-orang di kampung hidup tolong-menolong, bergotong-royong dan bertegur-sapa di antara
satu sama lain. Dengan ini, hidup lebih bermakna dan dapat menghindarkan diri daripada pengaruh-pengaruh yang boleh merosakkan dan menjatuhkan moral.

Suasana yang tenteram dan damai, udara yang segar dan penduduknya yang berbudi bahasa
menyebabkan tinggal di kampung lebik baik daripada di bandar.

Temu Ramah/Dialog: Anak berjaya

Kamu berpeluang menemuramah seorang bapa kepada sepasang anak kembar yang telah berjaya menjadi doktor perubatan, semasa majlis penyampaian ijazah di Universiti Malaya. Cuba buat satu temuramah itu dengan bertanyakan hal-hal yang berkaitan.

(Setelah memperkenalkan diri kamu , maka kamu mengemukan soalan -soalan kepada Encik Karim)

Murid       : Encik, sebenarnya bagaimana encik mengasuh kedua-dua anak kembar encik Faizul dan
                  Faizal hingga berjaya menjadi doktor ?

En. Karim : Oh ! Saya pun tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya. Hanya saya kira Tuhan
                  merestui kami sekeluarga.

Murid       : Boleh saya tahu bagaimana anak-anak encik ini belajar ?

En. Karim : Mmmmmmm, kalau fasal belajar , mereka memang sungguh berusaha. Hampir sepanjang
                  waktu mereka asyik dengan buku sahaja. Kalau menonton televisyen itu jarang sekali.
                  Kerap kali kalau menonton pun, mereka menonton siaran berita sahaja.

Murid       : Di mana mereka bersekolah ?

En. Karim : Kesemuanya bersekolah di Sekoleh Kebangsaan Seri Tualang. Kemudian, bersekolah
                  menengah di Sek. Men. Seri Tualang, Temerloh. Semuanya mendapat pangkat satu di
                  peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Semasa itulah mereka mendapat tawaran belajar di
                  Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Nah! Sekarang mereka sudah lulus dan menjadi
                  doktor.

Murid        : Apakah perasaan encik sekarang ?

En. Karim  : Sudah tentu gembira sekali. Kami sekeluarga bersyukur di atas kejayaan gemilang itu.

Murid        : Baiklah encik , saya berterima kasih kerana sudi melapangkan masa untuk ditemubual.

En. Karim  : Terima kasih kembali. ( Berjabat tangan dengan murid )

Temu Ramah/Dialog: Jangan menuduh tanpa usul periksa

Jangan Menuduh Tanpa Usul Periksa

Kawan kamu telah kehilangan duit. Dia menuduh orang lain tanpa usul periksa. Bagaimanakah cara kamu menasihatinya ? Tuliskan perbualan antara kamu berdua. (Kamu dan Azmi berada di sudut kantin sekolah)

Malim : Mengapa kamu bermuram saja, Azmi ? Apakah kamu ada masalah?

Azmi : Duit saya hilang sebanyak sepuluh ringgit, Malim.

Malim : Macam mana boleh hilang?

Azmi : Seingat saya, sebelum rehat saya telah letakkan duit itu di dalam beg. Semasa waktu rehat, saya ke kelas sebentar untuk mengambil duit saya yang tertinggal. Saya mengesyaki Tahir yang curi, sebab saya melihat dia sahaja yang ada di dalam kelas semasa saya datang tadi.

Malim : Bukankah cikgu selalu menasihati kita agar duit jangan ditinggalkan di dalam beg. Sekarang sudah hilang, mengapa pula menuduh dia tanpa usul periksa?

Azmi : Jika bukan Tahir, siapa lagi ? Saya pasti memang Tahir! Dia memang selalu dengkikan saya!

Malim : Jangan sesekali serkap jarang, Azmi. Buruk padahnya nanti. Jika bukan dia, bagaimana?  Malu kita nanti? Baik kita jumpa Cikgu Zaidi. Guru disiplin itu mungkin boleh membantu kita.

Azmi : Betul juga kata kamu, Malim. Mungkin saya tersilap menuduhnya. Saya berasa bangga mempunyai kawan macam kamu. Jom kita pergi jumpa Cikgu Zaidi!

Malim: Marilah.

Temu Ramah/Dialog: Sahabat Baik Saya

Andaikan bahawa anda menyertai pertandingan syarahan. Dalam pertandingan itu anda telah mendapat tempat kedua. Anda telah dikalahkan oleh peserta bukan melayu. Anda ingin mengucapkan tahniah dan menyatakan perasaan kagum anda akan kebolehannya. Tulislah dialog anda selengkapnya.

(Siva sedang asyik membaca sebuah buku cerita di perpustakaan sekolah)

Azman : Tahniah! Siva, kerana kamu berjaya dalam pertandingan syarahan itu.

Siva     : Terima kasih. Saya berharap supaya kejayaan ini akan menaikkan semangat pelajar-pelajar
             bukan Melayu yang lain untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Azman : Saya kagum melihat kamu bersyarah pada hari ini. Setiap perkataan yang awak ucapkan jelas
             dan lancar. Bagaimanakah cara kamu mempelajari Bahasa Melayu ?

Siva     : Keluarga saya menggalakkan saya membaca buku-buku bahasa melayu yang bermutu. Di
             samping itu, saya selalu mempelajari tatabahasa. Saya selalu membuka kamus untuk
             mempelajari ejaan dan makna kata-kata yang saya baca. Saya melatih diri menggunakan
             bahasa baku apabila membaca atau bercakap.

Azman : Kalau begitu, tidak hairanlah apabila kamu berjaya mengalahkan saya dan beberapa pelajar
             Melayu yang lain dalam pertandingan itu. Saya malu, Siva!

Siva     : Mengapa ?

Azman : Selama ini saya menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah kerana itu adalah
             bahasa ibunda saya. Rupa-rupanya saya silap.

Siva     : Baguslah, Azman, kalau kamu sudah sedar. Sama-samalah kita belajar menguasai Bahasa
             Kebangsaan Negara kita.

Azman : Ya, baiklah, Siva...

Biografi: Penoreh Getah

Pada cuti semester yang lalu, anda telah tinggal bersama-sama pakcik anda. Pakcik anda itu penoreh getah. Ceritakan kehidupan seharian pakcik anda itu dalam bentuk karangan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan - rumahnya tidak jauh dari kebun getah
                       -setiap hari dia pergi menoreh
                       -pergi dengan berbasikal
                     
Perenggan ke-2 - memakai topi berlampu
                          - dapat menoreh walaupun suasana masih gelap
                          - menoreh dengan pisau getah tajam
                       
Perenggan ke-3 - selesai menoreh pukul 10
                          - sentiasa pastikan kebunnya terjaga
                       
Perenggan ke-4 - menjual hasil seminggu sekali
                          - mengutip getah skrap dan dikumpulkan
                          - getah dijual


Penutup - dapat menanggung keluarga
               - menanam tanaman lain dan ternakan sebagai sampingan
               - bangga dengan sikapnya yang rajin

** ** ** ** **


Pakcik saya seorang penoreh getah. Kebun getahnya terletak tidak berapa jauh dari rumahnya. Setiap pagi, sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang Subuh, dia akan segera ke kebun getahnya dengan menunggang sebuah basikal.

Sebelum menoreh, pakcik saya akan memakai topi yang berlampu suluh kerana keadaan waktu itu masih gelap. Dia menoreh dengan sebilah pisau getah yang sentiasa diasah tajam supaya kerjanya dapat dilakukan dengar lancar serta lebih banyak susu getah dapat dihasilkan.

Kerja-kerja menoreh itu selesai kira-kira pukul 10.00 pagi. Sebelum pulang ke rumah, pakcik saya akan memastikan kebunnya berkeadaan baik. Jika perlu, dia akan menebas dan sebagainya dahulu sebelum pulang ke rumah.

Kira-kira seminggu menoreh, pakcik saya akan menjual hasil kebunnya. Dia akan membawa guni atau baldi untuk mengutip getah skrap yang berlonggok di pangkal pokok-pokok getah, sebelum dikumpulkan di satu tempat sementara menunggu lori pembeli getah tiba.

Hasil daripada jualan getahnya itu, dapatlah pakcik saya menanggung perbelanjaan  keluarganya. Selain menoreh getah, pakcik saya juga ada menanam sayur dan menternak kambing sebagai pendapatan sampingan. Saya sungguh bangga melihat kerajinan pakcik  saya mencari nafkahnya seisi keluarga.

Autobiografi: Aku Sehelai Baju

Aku sehelai baju.

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam almari cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.00.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadis bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku, mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau badanku terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Namun sudah terlambat kerana sebahagian badanku telahpun hangus. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Autobiografi: Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari "Negara Matahari Terbit". Aku dibuat di sebuah kilang di negara maju itu. Badanku terdiri daripada besi, getah, kaca dan plastik.

Setelah siap dipasang, aku digelar basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain ditempatkan di sebuah bilik di kilang itu sementara menunggu untuk dipasarkan. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai kawan-kawan memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pelabuhan untuk menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan beberapa orang kelasi kapal itu, aku dengar ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memiliki kami. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang. Tanpa disangka kapal yang kami naiki karam setelah dipukul ombak besar. Aku dan kawan-kawanku tenggelam ke dasar laut. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku naik ke daratan. Akhirnya kami dihantar ke kilang kitar semula.

Aku berasa sungguh kesal kerana telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia. Bagaimanapun, itu tidak penting kerana aku yakin semuanya adalah ketentuan Tuhan.

Berita: Banjir


PAHANG, 16 NOVEMBER 2009 - Kampung Bangau Parit telah dilanda banjir. Tiga hari sebelum kejadian, hujan turun mencurah-curah dikebanyakan kawasan di daerah Temerloh. Menurut seorang penduduk kampung, mereka tidak menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana sebelum ini banjir tidak pernah berlaku di kampung mereka. Oleh sebab itu, ramai penduduk kampung tidak membuat persediaan awal bagi menghadapi situasi tersebut.

Setelah air naik ke paras yang berbahaya, pasukan penyelamat terpaksa mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang-barang penting dan berharga untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat. Penduduk kampung telah dipindahkan dengan motobot dan ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Harun sehingga banjir surut.

Pasukan penyelamat juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengambil berat akan keselamatan anak-anak. Jangan biarkan mereka mandi atau bermain air bah yang telah dicemari air limbah dan sebagainya.Bahkan, air bah itu juga mungkin menghanyutkan haiwan berbisa seperti ular dan sebagainya.

Menurut Encik Encik Anuar bin Abu Hassan, Ketua Kampung Kampung Bangau Parit, banjir mula berlaku apabila air Sungai Pahang mula melimpah lalu menenggelami beberapa tempat di kampung tersebut. Menurut beliau lagi, penduduk kampung akan mengalami kerugian besar kerana selain daripada rumah mereka ditenggelami air, banyak tanaman dan haiwan ternakan mereka juga mati akibat bencana ini. Namun begitu, beliau bersyukur kerana setakat hari ini, tidak ada lagi berlaku kes kematian akibat banjir ini.

Menurut Ketua kampung itu lagi, pihak kerajaan negeri akan menyalurkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban penduduk kampung yang terlibat dengan bencana ini. Penduduk kampung juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi menghadapi situasi banjir selepas ini kerana cuaca sekarang telah banyak berubah berbanding beberapa tahun sebelumnya..

Berita: Kempen Mengindahkan Kawasan Sekolah

Sekolah kamu telah menganjurkan Kempen Mengindahkan Kawasan Sekolah. Tuliskan berita tentang kempen tersebut.

** ** ** ** **

TEMERLOH, 14 JULAI - Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan Kempen Mengindahkan Kawasan Sekolah. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memastikan kawasan sekolah sentiasa cantik, menarik dan indah. Guru Besar iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh memberitahu bahawa kempen ini merupakan aktiviti tahunan sekolah yang melibatkan semua warga sekolah dan masyarakat setempat.

Kempen itubermula tepat pada pukul 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran sekolah. Antara aktiviti yang dijalankan semasa gotong-royong ini ialah menanam pokok-pokok bunga, membina taman sains, membersihkan longkang-longkang dan menebas semak-samun. Para ibu bapa diminta membawa sendiri peralatan yang bersesuaian seperti cangkul, parang, dan sabit untuk aktiviti tersebut.

Murid-murid dan guru-guru pula diminta membawa sebatang pokok bunga bagi setiap seorang untuk ditanam di perkarangan sekolah. Kaum ibu turut membantu membaja dan menyiram pokok-pokok bunga yang telah ditanam oleh mereka itu.

Selain itu, sebuah taman sains telah berjaya diwujudkan melalui kempen ini. Selain ditanam dengan pelbagai jenis pokok herba dan sayur-sayuran, di tengah-tengahnya juga dibuat sebuah kolam untuk memelihara pelbagai jenis haiwan seperti ikan dan kura-kura.

Hampir 100 orang ibu bapa yang menyertai kempen ini. Sebelum kempen ini berakhir, satu jamuan makan tengah hari telah diadakan di kantin sekolah. Pihak sekolah berasa bangga atas kerjasama yang ditunjukkan oleh masyaarakat setempat dan warga sekolah. Mereka berharap Sekolah Kebangsaan Seri Tualang sentiasa bersih, cantik, dan ceria agar murid-murid sentiasa gembira semasa belajar di sekolah.

Fakta: Langkah-langkah Mewujudkan Minat Membaca dalam Kalangan Para Pelajar

Terangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mewujudkan minat membaca dalam kalangan para pelajar. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan 
-membaca banyak kebaikannya
-mesti dipupuk sejak kecil

Perenggan ke-2 
-pihak sekolah memainkan peranan
-mengadakan kempen membaca 
-perpustakaan yang lengkap dan menarik

Perenggan ke-3 
-ibu bapa memupuk minat membaca anak-anak
-peruntukkan wang untuk buku anak-anak 

Perenggan ke-4 
-harga buku berpatutan
-semua golongan mampu membeli buku

Penutup 
-membaca penting
-mesti dipupuk sejak di bangku sekolah


***********************************


Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, minat membaca dalam kalangan para pelajar mestilah dipupuk sejak dari kecil lagi.

    Antara langkah-langkah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan para pelajar adalah dengan mengadakan Progaram Kempen Membaca di sekolah. Pihak sekolah boleh menjalankan kempen ini dengan mengadakan pelbagai pertandingan seperti pertandingan mengarang esei, buku skrap dan sebagainya.

    Selain itu, perpustakaan sekolah perlulah selesa serta dilengkapi dengan bahan bacaan dan kemudahan yang mencukupi. Ini akan menarik minat pelajar mengunjungi perpustakaan untuk membaca buku.

    Ibu bapa pula mestilah memainkan peranan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku-buku yang bersesuaian untuk bacaan anak-anak mereka. Jadikan membaca sebagai aktiviti harian keluarga dan wujudkan perpustakaan mini di rumah.

    Pihak kerajaan pula perlulah menyediakan baucar khas kepada Para Pelajar yang kurang berkemampuan supaya semua golongan pelajar mampu membeli buku-buku yang mereka perlukan.

    Kesimpulannya, membaca adalah jambatan ilmu yang menghubungkan insan dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, minat membaca perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

Fakta: Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Ceritakan tentang kebaikan-kebaikan menyimpan wang di bank. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

* * * * *
Rangka Karangan :

Pendahuluan
-digalakkan simpan wang di bank kerana banyak kebaikannya
-buka akaun bank sebelum boleh menyimpan wang
-banyak pilihan bank

Perenggan ke-2
-simpanan dijamin selamat
-kehilangan atau kecurian, tanggungjawab bank
-bencana alam, tangungjawab bank

Perenggan ke-3
-menjamin masa hadapan
-contoh; membiayai pengajian
-perlu menyimpan secara tetap

Perenggan ke-4
-cermat berbelanja
-pandai menguruskan wang sendiri
-lepas daripada masalah kewangan                            

Penutup  
-amalan menyimpan wang perlu diamalkan
-kehidupan akan lebih terjamin


**   **   **   **   **

Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.

Fakta: Masa Itu Ibarat Emas

Masa itu ibarat emas. Oleh itu, kita mestilah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dengan tidak melakukan aktiviti yang boleh merugikan. Gunakanlah masa lapang kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah.  

Pada masa cuti sekolah, kita boleh menggunakan masa lapang itu untuk melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti menolong ibu bapa di rumah. Kita boleh membantu mereka dengan mengemas rumah, menyiram pokok bunga, menolong ibu memasak dan lain-lain lagi. Ini dapat meringankan tugas ibu bapa dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.

Selain itu, masa lapang haruslah kita gunakan untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran. Aktiviti ini boleh menambahkan kemahiran dan kecekapan kita dalam sesuatu mata pelajaran. Kita juga akan dapat membaiki kelemahan dalam pelajaran. Ini akan membantu kita lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Selain itu, jika ada kesempatan, kita boleh berkelah bersama keluarga. Dengan berkelah, kita dapat merehatkan fikiran dan menyegarkan minda setelah penat berlajar. Apatah lagi berkelah juga dapat mengeratkan tali persaudaran kerana kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain, makan dan sebagainya bersama keluarga

Masa lapang terutamanya pada musim cuti sekolah juga boleh kita gunakan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Ini dapat mengeratkan persaudaraan antara saudara mara, di samping dapat  melancong dan menikmati keindahan alam.

Kesimpulannya, masa amat berharga. Justeru, hargailah masa demi kehidupan yang lebih sempurna. Masa cuti sekolah atau masa lapang boleh dilalui dengan perkara yang tidak sia-sia apabila kita menghargai masa.

Fakta: Faedah-faedah Memanfaatkan Perpustakaan

Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperolehi jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.

**   **   **   **   **

Perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Di perpustakaan terdapat banyak buku-buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, buku rencana dan lain-lain lagi. Dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran.

Murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah. Sebaliknya, gejala yang tidak sihat akan mengelapkan masa depan mereka.

Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

Perpustakaan juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Ini tentu dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, menfaatkanlah perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan.


Fakta: Kebaikan Buah-buahan Tempatan

Rakyat Malaysia digalakkan makan lebih banyak buah-buahan tempatan. Tuliskan tentang kebaikan buah-buahan tempatan.

** *  ***   ***   ***   ***

Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang terdapat di negara kita Malaysia. Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, rambutan, langsat dan lain-lain lagi.

Rakyat Malaysia digalakkan mengambil buah-buahan tempatan kerana buah-buahan tempatan masih segar. Oleh itu, buah-buahan ini tentu lebih berkhasiat kerana kandungan berbagai-bagai jenis zat dan vitaminnya masih terpelihara dan ini tentunya lebih baik untuk kesihatan kita.

Buah-buahan tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan ini seperti pisang dan betik boleh kita tanam sendiri di sekeliling rumah, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kampung. Ini akan akan memudah kita mendapatkan buah-buahan ini tanpa perlu pergi ke kedai dan sebagainya.

Buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung kita telah membantu negara dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negara.

Kesimpulannya, kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana banyak kebaikannya. Tambahan pula buah-buahan tempatan didapati lebih murah daripada buah-buahan import. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia dapat menikmati buah-buahan ini tanpa mengira kaya atau miskin.




Fakta: Langkah-langkah Untuk Memastikan Kejayaan Dalam Pelajaran



Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Tuliskan sebuah karangan tentang langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran.

*** *** *** *** ***

Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Pelajaran dapat menjamin masa depan pelajar dalam apa juga bidang yang mereka minati. Oleh itu, pelajar haruslah belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka berjaya pada masa hadapan.

Antara langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran ialah berniat atau berazam memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Keazaman yang tinggi akan mendorong pelajar berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Seterusnya pelajar hendaklah menumpukan perhatian semasa guru mengajar bagi memastikan mereka faham akan apa yang dipelajari di kelas. Mereka juga mestilah segera bertanya guru jika tidak faham akan sesuatu topik pelajaran supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

Selain itu, pelajar haruslah membuat jadual waktu di rumah bagi memastikan mereka dapat menggunakan masa seperti yang dirancang. Apabila pelajar pandai membahagikan masa, ini akan membantu mereka berjaya dalam pelajaran.

Di samping itu, jagalah kesihatan dengan mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat supaya pelajar sentiasa berkeadaan cergas dan cerdas. Kesihatan yang baik akan memudahkan pelajar memahami apa yang dipelajari.

Dalam pada itu, disiplin diri juga menjadi faktor kejayaan seseorang pelajar dalam pelajaran. Pelajar yang berdisiplin akan membolehkan mereka berjaya dalam pelajaran kerana mereka tidak terjerat dengan pelbagai masalah disiplin yang boleh menggangu mereka dalam pelajaran.

Kesimpulannya pelajaran amat penting kepada para pelajar. Orang yang berilmu sudah tentu akan dipandang mulia. Oleh itu, kita mestilah mengikut langkah-langkah yang betul untuk berjaya dalam pelajaran.

Fakta: Faedah-faedah Mempelajari Komputer.

Komputer amat penting pada masa ini kerana banyak perkara terpaksa dilakukan dengan menggunakan komputer. Oleh sebab itu, wajarlah murid-murid berusaha menguasai ilmu komputer sejak dari sekolah rendah lagi bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Antara faedah mempelajari komputer ialah memudahkan kita memperoleh pelbagai maklumat yang dikehendaki. Kita boleh mencari pelbagai maklumat melalui komputer dengan melayari internet.

Selain itu, komputer juga membolehkan kita belajar dengan menggunakan perisian tertentu atau secara dalam talian. Ini memudahkan pelajar memahami pelajaran dan menambahkan minat mereka untuk terus mengikuti pelajaran.

Di samping itu, kerja-kerja pendokumenan akan lebih mudah apabila dilaksanakan oleh seseorang yang mahir komputer.Tambahan pula, dengan komputer sebarang kesilapan semasa menaip dapat dibetulkan dengan lebih mudah dan pantas.

Kemahiran dalam penggunaan komputer juga dapat membantu seseorang menguruskan fail atau data-data penting dengan lebih mudah dan selamat. Ini penting untuk menghindari kita daripada masalah dan kerugian akibat kehilangan data-data atau fail-fail tersebut. 

Dalam pada itu, komputer juga boleh menghiburkan kita. Pelbagai aktiviti yang menghiburkan dapat dilakukan seperti bermain melalui perisian komputer. Ini boleh merehatkan minda kita setelah penat belajar, asalkan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga mengabaikan pelajaran.

Kesimpulannya, mempelajari komputer mempunyai banyak faedahnya. Tambahan pula, pada masa ini banyak perkara perlu dilakukan dengan  menggunakan komputer.Oleh itu, tanamkan sikap ingin mempelajari komputer agar kita tidak ketinggalan dalam arus permodenan.

Fakta: Senaman Asas Kesihatan

Senaman adalah asas kesihatan kita. Senaman secara teratur dan berterusan akan memastikan  kesihatan kita sentiasa baik. Kita boleh bersenam dengan pelbagai cara seperti berjoging, berbasikal, berenang dan lain-lain lagi. 

Senaman mempunyai banyak faedahnya. Apabila kita bersenam, badan kita akan berpeluh, otot menjadi kuat dan melancarkan perjalanan darah ke seluruh badan. Ini menjadikan badan kita sihat lalu menyukarkan daripada terkena penyakit seperti demam, batuk, selsema dan lain-lain lagi.

Senaman juga menjadikan bentuk badan lebih menarik iaitu tidak terlalu gemuk atau kurus. Penampilan diri akan lebih menarik kerana badan yang langsing akan memudahkan pergerakan kita. Oleh itu, kita akan lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat.

Selain itu, aktiviti senaman dapat mengisi masa lapang. Ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau memudaratkan seperti melepak, merokok dan sebagainya.

Justeru, kita mestilah mengambil berat tentang senaman kerana senaman dapat menjamin kesihatan kita. Tambahan lagi, kajian pakar membuktikan senaman dapat mencerdaskan pemikiran. Oleh itu, jadikan senaman sebagai amalan hidup kita seharian.


Fakta: Kebaikan-kebaikan Membaca

Kebaikan-kebaikan Membaca

Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Apatah lagi pada masa ini bahan bacaan yang sesuai seperti surat khabar, majalah dan sebagainya sangat mudah kita dapati seperti di kedai-kedai berdekatan rumah atau melalui internet.

Antara kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi. Keadaan ini tentu akan meningkatkan mutu karangan kita kerana banyak fakta yang kita ketahui.

Selain daripada itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu membaca akan mampu menulis karangan dengan ayat yang lebih gramatis kerana lebih banyak perkataan yang mereka ketahui atau kuasai.

Di samping itu, orang yang rajin membaca akan memperoleh banyak pengajaran dan pengalaman daripada pembacaan. Pengajaran dan pengalaman ini boleh dijadikan pedoman untuk kebaikan mereka dalam kehidupan sehari-harian.  

Membaca juga dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak bahan bacaan ringan yang baik dan menghiburkan kita seperti komik, cerpen dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kita harus lebih cermat dalam memilih bahan bacaan berunsur hiburan ini kerana ada juga yang tidak sesuai atau tidak elok untuk dibaca.

Kesimpulannya, mengamalkan budaya membaca amatlah penting terutama kepada para pelajar. Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Oleh itu, kita haruslah amalkan sikap suka membaca supaya kita cemerlang dalam pelajaran yang menjadi kebanggaan guru-guru dan ibu bapa.

Fakta: Cara-cara Memupuk Semangat Kejiranan.

Orang bela angsa untuk menjaga rumah daripada diceroboh. Sayangnya jiranpun tidak datang ke rumah kita kerana takut dikejar angsa. 


Cara-cara Memupuk Semangat Kejiranan

Jiran ialah orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah kita. Jiran boleh memberi kesan baik atau buruk kepada kita dan keluarga. Hal ini berlaku kerana jiran yang baik akan menggembirakan kita, manakala jiran yang sebaliknya akan menyebabkan kita sengsara seperti pergaduhan dan sebagainya. Oleh itu, sewajarnyalah kita sentiasa memupuk semangat kejiranan.

    Antara cara memupuk semangat kejiranan adalah tegur-menegur dan kunjung-mengunjung sesama jiran. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa perayaan, jiran sakit, menyambut kelahiran anak, kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti ini akan mengeratkan hubungan kejiranan kerana kita saling mengambil berat antara satu sama lain.

    Selain itu, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui kegiatan gotong-royong. Melalui aktiviti ini, kita dapat berkenalan, bertanya khabar berbual-bual dan sebagainya. Justeru, kita dapat mengenali jiran dengan lebih rapat lalu mengeratkan hubungan sesama jiran.

    Di samping itu, kita mestilah mempunyai sikap prihatin terhadap masalah jiran. Apabila jiran kita mengalami kesusahan seperti kereta rosak dan sebagainya, kita mestilah bersedia menghulurkan bantuan. Dengan cara itu, lahirlah sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama jiran.

    Seterusnya, masjid atau surau boleh dijadikan tempat untuk memupuk semangat kejiranan. Hal ini berlaku apabila ahli qariah datang ke situ untuk menunaikam solat fardhu secara berjemaah. Di situ juga selalunya diadakan pelbagai aktiviti untuk ahli qariah. Justeru, aktiviti tersebut memberi peluang untuk ahli jemaah berkenalan dengan lebih rapat dan seterusnya mewujudkan kemesraan sesama jiran. 

Kesimpulannya, kita mestilah berbuat baik kepada jiran tetangga. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk mengeratkan kejiranan. Pupuklah semangat kejiranan agar hubungan kita dengan jiran tetangga sentiasa aman dan harmoni.

Melengkapkan cerita: Serina Demam Panas

Tiba-tiba aku terdengar orang mengetuk tingkap bilikku. Aku ....

***   ***   ***   ***   ***

Tiba-tiba aku terdengar orang mengetuk tingkap bilikku. Aku segera membuka tingkap.
Rupa-rupanya jiranku, Mak Cik Jamilah. Mak Cik Jamilah memberitahuku bahawa anaknya diserang demam panas. Manakala, suaminya pula tiada di rumah kerana sedang berkursus. Dia ingin meminta bantuan kami untuk membawa anaknya ke hospital dengan segera.

Aku segera ke ruang tamu. Aku memberitahu ayah dan ibuku bahawa anak mak cik Jamilah diserang demam panas. Ayah dan ibuku segera ke rumah jiranku itu untuk melihat keadaannya.

Ibu dan Mak Cik Jamilah memapah Serina masuk ke dalam kereta ayahku untuk dibawa ke hospital. Manakala, ibu menyuruh aku menjaga rumah dan mengunci pintu. 

Aku berasa bimbang akan keaadan Serina yang diserang demam panas. Aku hanya mampu berdoa kepada Allah supaya Serina selamat.

Sejam kemudian, aku terdengar enjin kereta ayahku. Aku segera membuka pintu. Ibu memberitahu aku bahawa Serina ditahan di wad.

Dua hari kemudian, Aku dan keluargaku menziarahi Serina di hospital. Aku bersyukur kerana Serina sudah hampir sembuh. Mak cik Jamilah dan pak cik Jamil mengucapkan terima kasih kepada kami sekeluarga.

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku hilang

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba .....

***   ***   ***   ***   ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam tanganku sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana kawasan itu mulai sunyi.

Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran. Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku terus menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan tenang, ibuku memintaku jangan ke mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.

Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat kunci untuk menempah kunci baru basikalku.

Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas tambahan. Ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana bimbang akan keselamatanku jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan dihantar oleh ayah setiap kali ada kelas tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut