Berkelah di Pantai Balok

Baru-baru ini, keluarga kamu berkelah di satu tempat menarik. Tulis satu catatan tentang perkelahan  itu.

Sabtu, 22 Februari 2014


7.00 pagi     -Semua ahli keluarga bergotong-royong mengangkat barang-barang dan bekalan ke dalam kereta.


8.30 pagi     -Kami seramai 6 orang bertolak ke Pantai Balok, Kuantan dengan menaiki kereta Exora ayah. Ayah memandu kereta dengan tenang menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur. Sepanjang perjalanan, kami melihat pemandangan yang indah sambil berbual-bual.


10.30 pagi     -Kami selamat tiba di Pantai Balok. Tanpa berlengah, kami mengangkat barang-barang dan bekalan dari dalam kereta untuk dibawa ke tempat yang strategik. Kemudian, kami bergotong-royong mengemas tempat perkelahan tersebut dengan memasang khemah dan membentang tikar untuk kami berehat. Selepas itu, kami mengeluarkan bekalan untuk sarapan pagi. Saya sungguh seronok bersarapan bersama keluarga di tepi pantai pada pagi itu.


11.30 tengah hari     -Kami menyalin pakaian dengan pakaian mandi. Syukur kerana cuaca pada hari itu cerah dan selamat untuk bermandi-manda di pantai itu. Sungguh seronok mandi-manda sambil bermain dan bergurau-senda bersama keluarga hingga merasakan masa berlalu begitu pantas sekali. Walau bagaimanpun saya sentiasa ingat pesan ayah dan ibu agar sentiasa berwaspada semasa mandi-manda di pantai tersebut.


01.00 petang     -Kami pergi ke bilik persalinan untuk membersihkan diri dan menyalin pakaian. Kami perlu membayar 30 sen seorang untuk menggunakan bilik persalinan tersebut. Selepas itu kami makan tengah hari dengan riangnya di bawah sebatang pokok yang rendang dengan pemandangan tepi pantai serta tiupan angin lembut yang mendamaikan.


2.30 petang     -Selepas mengemas barang-barang, kami menuju ke surau di situ untuk menunaikan solat Zohor. Ayah saya mengajar kami bagaimana melakukan solat jamak dan qasar iaitu solat Zohor digabungkan dengan solat Asar. Saya sangat seronok mendapat ilmu dan pengalaman baharu menunaikan solat jamak takdim bersama keluarga.


3.30 petang     -Setelah barang-barang disimpan di dalam kereta, kami berangkat pulang ke Temerloh semula. Semasa dalam perjalanan, ayah singgah sebentar di sebuah gerai di Gambang. Ayah membeli beberapa jenis keropok dan makanan ringan untuk dibawa pulang.


4.30 petang     -Kami berhenti di RNR Temerloh untuk minum petang.


5.30 petang     -Kami tiba di rumah. Kami mengangkat barang-barang perkelahan ke rumah untuk dibersihkan dan disimpan semula. Penat rasanya tetapi kami amat gembira kerana dapat berkelah bersama keluarga pada cuti sekolah kali ini.  

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut