Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan

Cerita: Kafe Salam

Kafe Salam

Bapa saya mewariskan sebuah kedai kepada saya. Kedai tersebut terbiar setelah bapa saya meninggal dunia. Saya tiada idea untuk mengusahakan kedai itu. 

    Pada suatu hari, Abu dan Raju datang menemui saya semasa saya sedang mengemas kedai itu. Mereka hairan mengapa kedai itu tidak dibuka walaupun keadaannya baik dan cantik. Lokasinya juga di kawasan tumpuan orang ramai. Mereka memberikan cadangan agar saya segera membuka kafe di kedai itu. 

    Saya memberitahu mereka bahawa saya tiada modal yang cukup untuk membuka sebuah kafe. Kemudian, saya mengajak mereka mengeluarkan modal bersama-sama untuk membuka kafe itu. Modal itu antaranya untuk mengubah suai dan membeli perabot di kafe itu nanti. Mereka bersetuju dengan ajakan saya itu.

    Sejak itu, kami mulalah berusaha menjayakan rancangan itu. Kami mencipta logo kafe yang melambangkan semangat setia kawan daripada berbilang bangsa di Malaysia. Kafe itu pula kami namakan Kafe Salam yang membawa maksud Sejahtera.

    Akhirnya Kafe Salam telah berjaya dibuka. Setelah beberapa bulan beroperasi, Kafe salam semakin dikenali. Kafe Salam dikunjungi oleh pelanggan pelbagai kaum. Hal ini disebabkan oleh menunya ialah  makanan-makanan yang popular daripada tiga kaum utama di Malaysia. 

Kafe Salam semakin maju atas usaha bersungguh-sungguh oleh tiga orang sahabat yang jujur dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi.

Cerita: Anak Kucing Comel

Tulis karangan cerita berdasarkan gambar bersiri di bawah. Tulis karangan kamu selengkapnya.


Anak Kucing Comel

Haslinda dan ibunya pergi ke bandar untuk membeli-belah. Mereka sungguh seronok kerana barang yang mereka perlukan telah diperolehi. Mereka pun menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.

Tiba-tiba Haslinda ternampak seekor anak kucing sedang mengekori mereka. Anak kucing itu amat kotor dan kurus. Haslinda berasa amat kasihan melihat keadaan anak kucing itu lalu memberitahu ibunya.

Haslinda mendukung anak kucing itu. Walaupun kotor tetapi anak kucing itu masih kelihatan amat comel. Haslinda ingin sungguh memelihara anak kucing itu.

Haslinda mengajak ibunya memelihara anak kucing itu. Ibunya bersetuju. Lantas, Haslinda mengelek anak kucing itu ke kereta dengan perasaan yang amat gembira.

Setibanya di rumah, tanpa membuang masa lagi Haslinda dan ibunya  terus membersih dan memandikan anak kucing itu. Anak kucing itu sungguh jinak dan mudah untuk dimandikan. Haslinda berasa sangat seronok melihat anak kucing itu semakin comel selepas dilap bulunya.

Haslinda menamakan anak kucing itu Osin kerana bulunya berwarna oren. Selepas itu, Haslinda memberi Osin makan makanan yang berkhasiat. Kini, Haslinda memiliki tiga ekor kucing yang comel iaitu Si Osin, S Putih dan Si Tompok.

Cerita: Langgar lari


Pada suatu petang, aku dan jiranku Amin bermain layang-layang di padang. Padang itu terletak berhampiran dengan rumahku. Aku ingin menaikkan layang-layang yang baru ayah beli semalam. Kebetulan pula waktu itu cuaca cerah serta angin bertiup kuat. Keadaan itu sudah tentu amat sesuai untuk kami bermain layang-layang.

Ketika kami sedang leka bermain layang-layang, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan dan jeritan di jalan raya yang terletak di hadapan rumahku. Aku segera menoleh ke arah bunyi itu. Aku melihat seorang nenek terjelepok di tepi jalan raya. Manakala, kelihatan sebuah motosikal memecut laju meninggalkan tempat itu. Rupa-rupanya seorang pemuda telah melanggar nenek itu dengan motosikalnya dan melarikan diri. Syukurlah, aku sempat mengecam nombor plat motosikal itu.

Tanpa berlengah lagi, kami segera berlari untuk menolong nenek itu. Kami cuba membantu nenek itu bangun tetapi dia menghalangnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan raya. Rupa-rupanya lutut dan tangannya telah tercedera dengan agak teruk. Kasihan sungguh melihat keadaannya, apatah lagi apabila dia mengerang dan merintih menahan sakit.

Aku meminta Amin mengutip barang-barangnya yang bertaburan, sementara itu aku pulang ke rumah untuk mendapatkan bantuan. Ayahku segera ke lokasi kejadian setelah aku memberitahunya. Kemudian, ayahku segera menelefon ambulan setelah mendapati kecederaan nenek itu agak parah. Ayahku juga berjanji akan memberitahu nombor plat motosikal itu kepada polis selepas nenek itu dihantar ke hospital nanti.

Sementara menunggu ambulan datang, ayahku dan beberapa orang lagi jiran kami mengawal lalu lintas di tempat kejadian. Kira-kira 20 minit kemudian, ambulan yang ditunggu pun tiba. Sebelum bergerak ke hospital, nenek itu sempat mengucapkan terima kasih kepada kami kerana banyak menolongnya.

Selepas itu, aku dan Amin bermain layang-layang semula. Aku berasa sungguh bersyukur kerana dapat menolong nenek itu hingga dia dihantar ke hospital. Aku berharap nenek itu segera sembuh dan dapat menjalani hidup kembali seperti biasa.

Bagaimanapun, hatiku juga berasa kecewa atas sikap yang tidak bertanggungjawab orang yang melanggar nenek ini. Mungkin dia terlanggar tanpa sengaja tetapi mengapa dia lari begitu sahaja tanpa memberi sedikitpun pertolongan kepada nenek itu. 

Sepatutnya dia harus mempunyai perasaan belas kasihan sesama makhluk. Jika diri sendiri diperlakukan seperti itu, apakah perasaannya? 

Cerita: Kampungku dilanda banjir

Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu.

_______________________________________________________________________


Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan turun dengan lebatnya tanpa henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Justeru, keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika berlaku banjir nanti.

Akhirnya, banjir benar-benar berlaku dan kami terpaksa dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat. Bagaimanapun saya berasa agak sedih setelah melihat hampir seluruh kampung kami telah ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar hujan segera sidang supaya air bah surut segera agar keadaan kampung kami kembali pulih.

Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan.

Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka,berkongsi bilik air dan tidak dapat bermain mahupun belajar dengan bebas. Mujurlah saya telah berkenalan dengan beberapa orang kawan sebaya yang membolehkan kami berbual dan berkongsi pengalaman sepanjang kami berada di situ.

Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah.

Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.

Cerita: Berani


Kami ingin menjadi insan yang berakhlak mulia.

Tulis karangan yang bertajuk 'Berani'. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan 
-tiba-tiba perut sakit pada waktu rehat
-segera ke tandas
-terlihat sekumpulan pelajar menconteng dinding sekolah 

Perenggan ke-2
-menghampiri kumpulan pelajar tersebut
-rupa-rupanya rakan sekelas
-menegur mereka tetapi dimarahi
-diberi amaran supaya tidak memberitahu guru

Perenggan ke-3 
-beredar
-memberitahu guru disiplin  
-tidak mahu perkara itu terus berlaku
-mereka dipanggil ke pejabat

Perenggan ke-4 
-mereka ditegur dan diberi nasihat
-mereka perlu memadam semula contengan
-mereka insaf

Penutup   
-mereka datang meminta maaf kepadaku
-mereka menjadi kawan baikku

* * * * *

Berani

Pada waktu rehat, tiba-tiba sahaja perutku terasa sakit lalu aku pun segara menuju ke tandas. Sewaktu perjalanan ke situ, aku ternampak beberapa orang murid sedang menconteng dinding sekolah.

Aku menghampiri mereka untuk menghalang perbuatan itu. Rupa-rupanya mereka ialah rakan sekelasku iaitu Aizat, Farid dan Azwan. Aku terus menegur dan menasihati mereka supaya segera menghentikan perbuatan tersebut. Tindakan ku ini menyebabkan mereka marah lalu tanpaku duga, Aizat menumbukku. Mujurlah aku sempat mengelak. Kemudian, mereka memberi amaran supaya aku merahsiakan peristiwa itu jika tidak mahu diapa-apakan mereka.

Selepas itu, aku pun terus beredar menuju ke tandas. Selepas ke tandas, aku segera mencari guru disiplin iaitu Cikgu Nadirah. Amaran mereka tidak aku endahkan kerana aku tidak mahu kegiatan vandalisme terus berlaku di sekolah kami. Sejurus kemudian, Cikgu Nadirah memanggil mereka ke pejabat dan mereka kelihatan amat takut.

Di pejabat, Cikgu Nadirah menasihati mereka supaya tidak melakukan perbuatan jahat itu lagi jika tidak mahu dikenakan tindakan yang lebih tegas. Mereka juga dikehendaki memadamkan semula contengan di dinding sekolah. Nasihat Cikgu Nadirah telah menyebabkan mereka insaf.

Beberapa hari kemudian, Azwan, Aizat dan Farid datang untuk meminta maaf kepadaku. Semenjak hari itu mereka menjadi kawan karibku.

Cerita: Ibu Bapa Ku Hilang


Tulis karangan yang bertajuk "Ibu bapuku Hilang". Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan
-meneyertai Kempen Mengibar Jalur Gemilang bersama keluarga
-keadaan sangat sesak
-ibu bapa hilang, takut

Perenggan ke-2
-mencari ibu bapa tetapi gagal
-cuba menelefon tetapi telefon di pondok telefon rosak

Perenggan ke-3

-semakin cemas
-disapa oleh seorang makcik
-menceritakan peristiwa yang terjadi
-makcik itu membantu menunjukkan sebuah pondok pengawal keselamatan                

Perenggan ke-4
-mengadu hal kepada pengawal keselamatan
-pengawal keselamatan membuat pengumuman
-gembira melihat ibu bapa datang
-berpelukan dengan ibu bapa                  

Penutup
-mengucapakan terima kasih kepada makcik dan pengawal keselamatan
-pengawal keselamatan menasihatkan ibu bapaku saya supaya lebih berhati-hati

* * * * *

Ibu bapaku Hilang

Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan keluarga telah pergi ke bandar Temerloh untuk menyertai Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang. Keadaan di situ sangat sesak dengan orang ramai. Ketika saya sedang asyik memerhati keadaan sekililing, tiba-tiba saya dapati ibu bapa saya sudah tiada di sisi saya. Saya berasa amat bimbang dan takut.

Saya berusaha untuk mencari mereka tetapi masih gagal ditemui. Kemudian saya mencari pondok telefon untuk menghubungi ayah saya. Saya terlihat sebuah pondok telefon lalu terus berjalan ke situ. Malang sekali, apabila saya dapati telefon di situ telah rosak.

Saya berasa semakin bimbang dan hampir menangis. Tiba-tiba saya disapa oleh seseorang. Apabila saya menoleh ke arah suara itu, saya lihat seorang makcik sedang tersenyum. Katanya dia sudah lama memerhatikan saya yang tampak gelisah seperti mempunyai masalah besar. Saya terus menceritakan keadaan yang menimpa diri saya. Selepas itu, dia membawa saya ke sebuah pondok pengawal keselamatan yang tidak jauh dari situ.

Setibanya kami di situ, saya terus menemui seorang pengawal keselamatan untuk mengadu akan masalah saya. Kemudian, pengawal keselamatan itupun membuat pengumuman menggunakan alat pembesar suara di pondok keselamatan itu. Tidak lama kemudian, ibu bapa saya kelihatan berlari anak ke arah kami. Saya berasa sungguh lega dan gembira. Sebaik sahaja bertemu, ibu terus memeluk dan mencium saya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada mak cik dan pegawai keselamatan yang telah menolong saya. Pegawai keselamatan itu pula menasihatkan ibu bapa saya supaya lebih berhati-hati apabila membawa anak-anak ke tempat yang sesak seperti ini.

Cerita: Perlawanan Bola Sepak

Gambarkan keadaan di padang sekolah kamu apabila diadakan sesuatu perlawanan. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

**  **  **  **  **  **
Rangka Karangan :

Pendahuluan
-padang yang luas di sekolah saya
-setiap hari digunakan dengan pelbagai aktiviti
-pada suatu hari, suasananya berubah kerana suatu pertandingan

Perenggan ke-2
-para penonton berkumpul ditepi padang
-mereka kelihatan amat teruja/berminat
-ada yang makan ais krim di tepi padang

Perenggan ke-3
-orang ramai bertepuk tangan sebaik pasukan yang bertanding masuk ke padang
-setiap pasukan dilihat sungguh bersemangat
-berharap pasukan sekolah saya menang

Perenggan ke-4
-perlawanan yang hebat
-setiap pasukan bermain bersungguh-sungguh
-riuh dengan tepukan penonton di sekeliling padang
-antara pasukan yang hebat pada tahun sebelumnya

Penutup  
-permainan tamat
-bersalaman antara pasukan
-bersyukur kerana pasukannya menang
-berazam untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pada tahun hadapan

**  **  **  **  **  **

Sekolah saya mempunyai sebuah padang yang luas. Setiap hari, padang ini digunakan untuk aktiviti Pelajaran Pendidikan Jasmani pada waktu pagi atau kegiatan ko-kurikulum pada waktu petang. Suasana padang itu berubah apabila sekolah saya mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia pada petang 14 Julai 2009 yang lalu.

Sebelum pertandingan bermula, murid-murid dan sebahagian daripada penduduk kampung mula berkumpul di sekeliling padang sekolah. Mereka masing-masing kelihatan amat teruja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut. Ada juga murid-murid dan beberapa orang penduduk kampung yang mengunyah makanan dan menikmati aiskrim sementara menunggu pasukan bola sepak masuk ke padang. Di penjuru padang kelihatan seorang penjual aiskrim bermotosikal sedang sibuk melayan kanak-kanak yang ingin membeli aiskrimnya.

Orang ramai bangun dan bertepuk tangan sebaik sahaja terlihat kelibat kedua-dua pasukan bola sepak masuk ke padang. Setiap pasukan kelihatan sungguh bersemangat untuk memenangi perlawanan itu. Saya juga berasa amat gementar dan berharap pasukan bola sepak sekolah saya akan memenangi perlawanan tersebut.

Semasa perlawanan, para pemain bermain dengan bersugguh-sungguh. Tepukan dan sorakan kedengaran di sekeliling padang. Para pemain menunjukkan aksi yang sungguh hebat kerana kedua-dua pasukan bola sepak ini adalah juara dan naik juara bagi pertandingan bola sepak sekolah rendah daerah Temerloh pada tahun lepas.

Perlawanan ini berakhir apabila pengadil meniupkan wisel penamat. Saya bersyukur kerana perlawanan ini telah dimenangi oleh pasukan bola sepak sekolah saya. Para pemain bersalam-salaman dengan pasukan lawan dan para pengadil sebelum keluar padang. Saya berharap pada tahun hadapan, saya pula akan mewakili sekolah dalam pertandingan seperti ini.

Cerita: Rumah Pak Abu Terbakar

Pada suatu petang, aku terdengar bunyi pelik di luar rumah lalu segera keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku. Di luar rumah, aku melihat asap berkepul-kepul di udara. Rupa-rupanya rumah Pak Abu telah terbakar.

Aku segera pergi memberitahu ibu dan bapaku. Tanpa berlengah, bapaku terus pergi meminta pertolongan penduduk kampung. Manakala, aku pula segera menelefon pihak bomba. Ramai penduduk kampung yang datang membantu. Mereka bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut namun api terus marak. Kira-kira 20 minit kemudian, barulah bomba sampai ke tempat kejadian. Setengah jam berikutnya, api yang marak itu berjaya dipadamkan tetapi malangnya rumah Pak Abu telah pun musnah sama sekali.

Menurut pihak bomba, kebakaran itu berpunca daripada kebocoran dapur gas. Ini kerana, kebakaran tersebut bermula dari dapur dan didapati tong gas di situ telah meletup. Aku bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Namun, kerugian dianggarkan lebih daripada RM300,000.

Selepas api berjaya dipadamkan, Pak Abu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang menolong memadamkan kebakaran rumahnya. Memandangkan Pak Abu adalah jiran terdekat kami, ibu bapaku mengajak Pak Abu sekeluarga menumpang di rumah kami untuk sementara waktu.

Semasa di rumah kami, Pak Abu selalu kelihatan muram kerana mengenangkan peristiwa pahit yang melanda keluarganya. Selang tiga bulan kemudian, rumah Pak Abu telah siap dibina semula. Pak Abu berasa amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga kami yang banyak membantu mereka. Akhirnya, Pak Abu dan keluarganya telah mengambil keluargaku sebagai keluarga angkat mereka.

Cerita: Alies Pengsan

Pada suatu pagi, semasa aku pulang ke kelas selepas waktu Pendidikan Jasmani, aku ternampak seorang murid terbaring di tengah padang sekolah. Aku pun pergi ke arah murid tersebut. Rupa-rupanya murid itu ialah rakan sekelasku iaitu Alies. Aku berasa cemas lalu terus memanggil rakan-rakanku yang masih berada berhampiran padang sekolah.

Aku berasa bimbang melihat keadaan Alies yang pucat. Tiba-tiba aku terlihat Cikgu Zakini di hujung padang. Tanpa berlengah aku segara memanggilnya dengan cemas. Kemudian, Cikgu Zakini bergegas menuju ke arah kami untuk mengetahui apa yang berlaku.

Cikgu Zakini terus meminta kami membawa Alies ke kantin. Setelah berbincang dengan cikgu-cikgu lain, akhirnya mereka bersetuju supaya Alies dibawa ke klinik dengan segera. Cikgu Zakini meminta aku menemaninya untuk menghantar Alise ke klinik. Sesampainya di klinik, aku membantu Cikgu Zakini memapah Alies masuk ke bilik doktor. Kemudian, aku diminta oleh doktor supaya menunggu di luar bilik sahaja. Aku gelisah kerana berasa amat bimbang akan keadaan Alies semasa menunggu di situ.

Tidak lama kemudian, Cikgu Zakini keluar sambil memapah Alies. Aku berasa sungguh gembira apabila melihat Alies telah pun sedar. Cikgu Zakini memberitahu aku bahawa Alies pengsan akibat pening kepala dan demam. Sebaik sahaja Cikgu Zakini selesai mengambil ubat, aku membantu Cikgu Zakini memapah Alies masuk ke dalam kereta. Kemudian, kami menghantar Alies ke rumahnya. Ibu bapanya mengucapkan terima kasih kepada kami atas bantuan itu.

Keesokan harinya, aku mengajak beberapa orang rakanku melawat Alies. Kami membawa sedikit buah tangan untuk Alies. Aku dan rakan-rakanku gembira apabila melihat keadaan Alies yang sudah semakin sembuh.

Cerita: Keputusan UPSR Sudah Keluar.

Pada hari Sabtu yang lepas, aku dan rakan-rakanku pergi ke sekolah dengan menunggang basikal. Tujuan kami ke sekolah adalah untuk mengetahui keputusan UPSR yang akan diumumkan pada hari tersebut.

Sebaik sahaja sampai di sekolah, kami terus meletakkan basikal di tempat letak basikal. Kami berasa tidak sabar lagi untuk mengetahui keputusan UPSR lalu terus masuk ke dalam dewan sekolah. Di dewan, kami melihat ramai pelajar yang telah hadir. Tidak lama kemudian, Guru Besar sekolah kami mengumumkan keputusan UPSR.

Aku berasa sungguh gementar, apatah lagi apabila melihat pelbagai memek muka kawan-kawanku apabila keputusan UPSR mereka diumumkan seperti gembira, sedih, cemas dan lain-lain lagi. Sebaik sahaja namaku disebut, aku berasa sungguh gembira kerana aku mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 5A.

Guru besar dan guru-guru lain mengucap tahniah kepadaku atas kejayaanku itu. Rakan-rakanku juga turut mengucap tahniah kepadaku. Aku mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajarku dengan penuh dedikasi serta tidak pernah mengenal erti penat dan putus asa. Aku berjanji, jasa dan bakti guru-guru akan diingati sehingga ke akhir hayatku.

Kemudian, aku dan rakan-rakanku pulang ke rumah masing-masing. Sebaik sahaja sampai di rumah, aku memberitahu ibu bapaku tentang keputusan peperiksaan UPSR yang aku peroleh. Ibu bapaku kelihatan amat gembira dengan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepadaku. Aku juga megucapkan terima kasih kepada ibu bapaku atas dorongan yang mereka berikan selama ini. Itulah kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan dalam hidupku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut