Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Fakta: Makanan Menyatukan Rakyat Malaysia

 Makanan Menyatukan Rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi. Rakyat Malaysia mestilah bersatu agar Malaysia kekal aman dan maju. Makanan juga boleh menyatukan rakyat Malaysia kerana disebabkan makanan, mereka berkumpul dan bertemu.

Pada bulan Ramadhan, perbagai kaum mengunjungi Bazar Ramadhan. Di situ mereka berkumpul dan bertegur sapa semasa berjual beli. Keadaan ini dapat menyatukan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Tempat menjamu selera seperti restoran-restoran, gerai-gerai dan sebagainya pula menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk menjamu selera. Di situ mereka   berkumpul dan bertemu. Keadaan ini membuka ruang untuk mereka mewujudkan perpaduan antara kaum. 

Begitu juga semasa hari perayaan sesuatu kaum seperti Hari Raya Aidil Fitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Mereka berkumpul di rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa untuk meraikan perayaan tersebut. Mereka prihatin tentang makanan yang tidak dimakan oleh sesuatu kaum. Sikap ini melahirkan rasa hormat-menghormati dan menyatukan rakyat Malaysia yang berbagai kaum.

Selain itu, Malaysia terkenal dengan pelbagai juadah kerana kepelbagaian kaum rakyatnya. Terdapat makanan yang telah menjadi identiti masyarakat Malaysia seperti nasi lemak, nasi kandar dan burger Ramlee yang terkenal di seluruh dunia. Keadaan ini menjadikan rakyat Malaysia berasa bangga dan menyatupadukan mereka. 

Kesimpulannya, rakyat Malaysia mestilah memilih untuk bersatu pada setiap masa dan keadaan.  Sikap ini penting bagi memastikan Malaysia kekal aman dan makmur serta terus maju pada masa hadapan. 

Fakta: Peranan Kamu Sebagai Seorang Murid kepada Negara

 Tajuk : Tuliskan sebuah esei yang bertajuk Peranan Kamu Sebagai Seorang Murid kepada Negara.


Isi-isinya;

Peranan sebagai seorang murid kepada negara:

1. Belajar bersungguh-sungguh.

2. Mematuhi undang-undang negara. 

3. Menghormati guru dan ibu bapa. 

4. Tidak terlibat dengan perkara-perkara negatif.


Peranan Kamu Sebagai Seorang Murid kepada Negara

Saya belajar di SK Kampong Tengah dalam Tahun 6 Usaha. Sebagai seorang pelajar, saya mempunyai peranan yang penting demi mengekalkan kemakmuran negara yang tercinta ini. 

Sebagai seorang murid, saya mestilah belajar bersungguh-sungguh. Saya mestilah memberikan kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya juga mesti rajin membaca buku dan mengulang kaji pelajaran. Hal ini hendaklah dilakukan agar saya menjadi rakyat yang berpengetahuan yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Selain itu, saya mestilah mematuhi undang-undang negara. Saya tidak boleh membuat sesuatu dengan sesuka hati sehingga melanggar undang-undang negara seperti melakukan vandalisme, membuli rakan sebaya, mencuri dan sebagainya. Aktiviti seperti ini boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara. Bagi memastikan negara ini terus makmur, saya mestilah mengelakkan aktiviti sedemikian yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

Di samping itu, saya juga mestilah menghormati guru-guru dan ibu bapa. Hal ini sewajarnya dilakukan kerana mereka ialah orang yang banyak berjasa kepada kita. Jasa mereka hendaklah kita hargai. Murid yang tahu menghormati guru-guru dan ibu bapanya tentulah seorang yang baik dan berkhalak mulia. Rakyat yang beraklak mulia tentu akan menyumbang kepada kemakmuran negara.

Akhir sekali, saya mestilah mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif. Perkara-perkara negatif seperti malas atau selalu dengan sengaja menangguhkan kerja atau tugas yang diberi akan menyebabkan pelbagai masalah berlaku. Perbuatan ini mungkin akan menyebabkan tugas itu tidak dapat diselesaikan dan sebagainya lagi. Keadaan ini akan menyebabkan negara kita tidak mampu bersaing dengan negara lain yang mempunyai rakyat yang rajin berusaha seperti rakyat Jepun dan China. 

Kesimpulannya, semua pihak termasuklah seorang murid hendaklah memainkan peranan untuk kemakmuran negara. Pepatah Melayu ada mengatakan "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" yang mengajar kita agar bersatu untuk mencapai sesuatu tujuan yang sama. Jadi marikan kita memainkan peranan masing-masing untuk tujuan Kemakmuran Negara kita yang tercinta ini.

Fakta: Cara-cara Menunggang Basikal dengan Selamat

Cara-cara Menunggang Basikal dengan Selamat

Berbasikal ialah aktiviti yang menyihatkan dan menyeronokkan. Justeru, tidak hairanlah ramai orang yang memilih aktiviti berbasikal untuk bersukan atau beriadah. Walau bagaimanapun, kita mestilah mengetahui cara-cara menunggang basikal dengan selamat. Hal ini dianggap penting kerana banyak kemalangan berlaku semasa aktiviti berbasikal.

Sebelum menunggang basikal, kita mestilah memakai topi keledar, pad siku, dan pad lutut. Tindakan ini bertujuan untuk menyelamatkan anggota badan yang berisiko tinggi daripada tercedera teruk apabila berlaku kemalangan.

Seterusnya, kita janganlah bermain-main semasa menunggang basikal seperti sengaja melepaskan tangan daripada hendal basikal. Bermain-main semasa berbasikal boleh menyebabkan kita hilang kawalan ke atas basikal yang kita tunggangi. Apabila keadaan ini berlaku, tentulah boleh mengakibatkan kemalangan.  

Selanjutnya, kita mestilah memastikan basikal kita dalam keadaan selamat untuk ditunggangi. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan kemalangan yang berpunca daripada masalah basikal yang kita tunggangi itu. Contohnya, brek basikal yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan kita gagal memberhentikan basikal di tempat yang sepatutnya sewaktu kecemasan.

Selain itu, semasa berbasikal kita haruslah menggunakan laluan khas basikal. Laluan tersebut disediakan untuk mengelakkan kita berlanggar dengan kenderaan lain. 

    Di samping itu, sewajarnya kita mengetahui cara menggunakan isyarat tangan. Apabila kita menggunakan isyarat tangan, pemandu kenderaan lain lebih mudah melihatnya. Justeru, kita dapat mengelakkan diri daripada kemalangan dengan kenderaan lain. 

    Sewajarnya kita mengikut arah laluan trafik semasa menunggang basikal di jalan raya. Tindakan ini akan mengurangkan risiko untuk kita bertembung dengan kenderaan lain. 

Kesimpulannya kita mestilah mengamalkan tingkah laku yang selamat kerana  pepatah ada mengatakan "Malang Tidak Berbau". Justeru, kita mestilah sentiasa berwaspada agar tidak mengalami kemalangan atau sekurang-kurang terselamat jika terlibat juga dalam sesuatu kemalangan.

Fakta: Aku Sebuah Kumputer Meja.

 


Aku Sebuah Komputer Meja

Aku merupakan sebuah komputer meja yang canggih dan terkini. Aku lahir setelah tuanku siap memasangku dalam masa sehari sahaja. Tuanku telah membeli komponen-kompunen badanku secara dalam talian melalui beberapa kedai 'online' seperti Shopee dan Lazada. 

    Aku melihat tuankan amat teruja semasa cuba menghidupkanku buat kali yang pertama. Dia kelihatan amat gembira apabila melihatku hidup dengan baik. Dia terus mengujiku dengan pelbagai tugas seperti bermain permainan video, mengedit video, mengedit gambar dan lain-lain lagi. Dia memuji-muji akan prestasiku yang sangat cemerlang seperti jangkaannya sebelum ini. Dia sangat bersyukur dengan kehadiranku ini.

    Seluruh keluarganya juga turut kelihatan amat gembira dengan kehadiranku dalam keluarga mereka. Anak lelakinya yang berumur 12 tahun tidak sabar-sabar ingin menggunakan aku untuk bermain permainan video simulator  'Arma 3' kegemarannya. Dia mendapati aku dapat menjalankan permainan itu dengan sangat lancar walaupun pada ketetapan yang tertinggi. 

    Selain itu, anaknya perempuannya yang berumur 16 tahun juga turut mencubaku untuk mengedit video sebelum disiarkan ke dalam saluran 'youtube'nya. Dia sangat berpuas hati dengan prestasiku yang jauh lebih pantas menyiapkan tugas berbanding dengan menggunakan laptopnyn sebelum ini.

    Kini, telah berbulan aku bersama tuanku. Aku dapat merasakan tuanku amat mengambil berat akan diriku. Dia menetapkan beberapa syarat kepada keluarganya apabila mahu menggunakan aku seperti mematikan aku mengikut langkah-langkah yang betul selepas menggunakanku. Dia mahu aku terus berbakti kepada keluarganya dalam tempoh yang lama.

Aku amat bersyukur dapat bersama dengan keluarga tuanku. Aku merasakan bahawa keluarganya amat baik, menyayangi dan menjagaku dengan sepenuh hati. Justeru, aku ingin terus menaburkan bakti dan menghiburkan mereka selagi hayatku dikandung badan.

Fakta: Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum mempunyai banyak faaedahnya. Kegiatan ini diadakan pada sebelah petang selepas waktu persekolahan agar tidak mengganggu masa belajar. Antara kegiatan kokurikulum yang diadakan seperti unit pakaian seragam, persatuan, sukan dan lain-lain lagi.

    Kegiatan kokurikulum dapat menonjolkan bakat dan kebolehan murid-murid. Murid-murid dapat mengembangkan bakat mereka dalam pertandingan syarahan, perbahasan, sukan, berpantun dan sebagainya. Oleh itu, murid-muird akan lebih berkeyakinan. 

    Selain itu, aktiviti kokurikulum dapat melatih murid-murid berdisiplin terutama dalam unit pakaian seragam. Dalam aktiviti ini, murid-murid dilatih untuk berkawal, menghormati ketua dan menyemai semangat setia kawan. 

    Di samping itu, kegiatan kokurikulum dapat mewujudkan semangat kerjasama dan tolong menolong di kalangan murid-murid. Kegiatan ini dijalankan secara berkumpulan. Dalam kumpulan, para anggotanya perlu bekerjasama dan bersatu padu.

    Seterusnya, aktiviti kokurikulum juga dapat mengisi masa lapang. Aktiviti ini dapat mengelakkan kita daripada gejala sosial yang tidak sihat seperti merokok, merempit, menghisap dadah dan lain-lain lagi. 

    Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, tanamkan sikap ingin menyertai kegiatan kokurikulum.

Fakta: Menjaga Kebersihan

Bina sebuah karangan berdasarkan gambar dan rangkai kata di bawah.


*Menjaga kebersihan -elakkan penyakit

*Mencuci tangan -sabun

*Mencuci sayur-sayuran -tiada kuman -kotoran

*Memastikan kebersihan -belas -air bersih

*Menutup makanan -lalat



*****
Kebersihan diri amat penting untuk kesihatan kita. Orang yang bersih tidak akan terdedah dengan kekotoran penyebab penyakit seperti demam, selsema, batuk dan sebagainya.

Sebelum makan, kita mestilah membasuh tangan dengan menggunakan sabun yang sesuai. Gosok kedua-dua belah tangan kita termasuk di celah-celah jari supaya tangan kita menjadi benar-benar bersih.

Selain itu, makanan seperti sayur-ayuran, buah-buahan dan sebagainya mestilah dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasak. Ini penting agar kita tidak mengambil makanan yang tercemar dengan bahan-bahan yang merbahaya kepada kesihatan kita.

Di samping itu,  bekas makanan yang kotor akan mencemarkan makanan kita. Oleh itu, basuhlah bekas makanan kita selepas digunakan.

Seterusnya, kita perlu menyimpan makanan di tempat yang tertutup. Ini untuk menghalang serangga atau haiwan seperti lalat dan tikus daripada mencemari makanan kita.

Hidup kita akan lebih gembira apabila kita sihat. Oleh itu, sentiasalah menjaga kebersihan agar kita terus sihat dan gembira sepanjang hari.

Fakta: Cara-cara membasmi pembiakan nyamuk Aedes

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun.

Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan kolam mandi.  Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.

Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam.

Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir.

Di samping itu, jika menggunakan  takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk mencegah pembiakan nyamuk.

Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.

Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi  pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Fakta: Kegunaan Komputer

Kegunaan Komputer

Penggunaan komputer amat penting pada masa kini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Justeru, ramai orang ingin memiliki komputer untuk kegunaan mereka semasa di rumah atau di mana-mana sahaja.

    Komputer membolehkan kita belajar seperti belajar secara dalam talian. Komputer juga memudahkan pelajar mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh diakses daripada komputer yang dilengkapi sambungan internet. Komputer juga akan memudahkan pelajar menyiapkan tugasan mereka.

    Kita boleh berhibur dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Melalui komputer kita boleh menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan sebagainya lagi. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk menenangkan fikiran setelah penat belajar atau bekerja.

    Komputer juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk berkomunikasi seperti email, forum, `facebook` dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung ini akan mengeratkan persahabatan dan persaudaraan antara kita.

    Kebanyakan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila menggunakan komputer . Misalnya, untuk menaip, menyimpan data atau maklumat dan mengira. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan pejabat seperti di bank akan dilengkapi dengan berpuluh-puluh komputer.

    Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada manusia. Walau bagaimanpun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer kerana ia juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.

Fakta: Berjimat-cermat Amalan Mulia

Tulis sebuah karangan bertajuk "Berjimat-cermat Amalan Mulia".



Berjimat-cermat Amalan Mulia 

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang dimiliki untuk perkara-perkara yang kita perlukan sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang simpanan itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya.

Selain itu, sikap berjimat-cermat akan mendidik seseorang agar sentiasa berfikir panjang sebelum membuat pembelian. Sikap ini dapat mengelakkan daripada pembelian yang sebenarnya tidak diperlukan yang akhirnya menyebabkan pembaziran. 

Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Hal ini berlaku demikian kerana, orang yang boros berbelanja biasanya tidak berfikir panjang. Mereka akan sanggup berhutang demi mendapatkan apa yang dihajatinya. Akhirnya, mereka terjerat dengan bebanan hutang yang akan menyusahkan mereka sendiri.

Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan masa lapang kita diisi dengankan aktiviti yang berfaedah. Ini dapat mengelakkan kita daripada membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang merugikan. 

Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Misalnya, mereka akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin udara dan sebagainya selepas digunakan. Akhirnya, amalan ini menjadi sebati dalam diri yang menjadi amalan hidup mereka.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita daripada ditimpa pelbagai masalah dikemudian hari.

Fakta: Cara-cara Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar


Cara-cara  Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar 

Kepupusan spesies haiwan semakin membimbangkan. Oleh itu, haiwan liar wajarlah dilindungi untuk mengelakkan nasib yang sama seperti dinosaur berulang.

Antara langkah untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengekalkan atau menambahkan lagi hutan simpan sedia ada. Haiwan-haiwan ini perlu berada dihabitatnya bagi pembiakan yang berterusan .

Di samping itu, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan menghukum sesiapa sahaja yang memelihara, menangkap atau membunuh haiwan-haiwan ini tanpa kebenaran pihak kerajaan.

Selain itu, aktiviti pemburuan mestilah diluar kawasan rizab sahaja. Penguatkuasaan ini dapat mengelakkan aktiviti pemburuan yang tidak terkawal.

Seterusnya usaha pembiakan spesies terancam perlulah dipergiatkan. Haiwan yang berjaya dibiakkan juga perlu dibebaskan ke habitat asal dengan dipantau dari semasa ke semasa.

Penubuhan pusat kajian haiwan-haiwan liar juga perlu diwujudkan bagi membekalkan maklumat secukupnya untuk penyelidikan dan pendidikan pada masa akan datang. Ini akan membolehkan usaha-usaha perlindungan haiwan ini lebih berkesan.

Akhir sekali, hidupan liar yang menceroboh kawasan kebun umpamanya perlulah dipindahkan segera ke zoo atau sebagainya. Ini kerana apabila keadaan ini terjadi, haiwan berkenaan akan ditangkap atau dibunuh.

Kesimpulannya, hidupan liar yang kian terancam perlulah dilindungi sebaik mungkin bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan alam yang tidak ternilai ini.

Fakta: Cara-cara Menggembirakan Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan orang yang banyak berjasa kepada kita. Tulis karangan cara-cara kamu menggembirakan ibu bapa.

______________________________________________________


Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah.

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka.

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

Fakta: Kebaikan Hobi Saya. (Versi 2)


Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang seperti memancing, mengumpul setem, membaca, melukis dan bersukan. Hobi saya pula bermain bola sepak. Saya melakukan aktiviti ini pada setiap petang.

Hobi ini banyak memberi kebaikan kepada saya antaranya  ialah mengisi masa lapang, menyihatkan badan, cergas serta cerdas dan menambah kenalan. Saya dapat mengisi masa lapang  dengan bermain bola sepak. Aktiviti ini mengelakkan saya daripada melepak dan sebagainya.

Selain itu, hobi ini juga dapat menyihatkan tubuh. Oleh sebab itulah saya jarang terkena penyakit seperti demam dan sebagainya. Badan saya juga menjadi cantik dan langsing.

Permainan bola sepak juga menyebabkan badan saya cergas dan otak saya cerdas. Saya sentiasa cergas semasa belajar dan mudah memahami sesuatu pelajaran.

Permainan bola sepak memerlukan pemain yang ramai. Oleh itu, saya berpeluang menambah kenalan terutama apabila melibatkan pertandingan dengan pasukan bola sepak dari luar.

Kesimpulannya setiap orang bebas memilih hobi yang digemari. Namun, sesuatu hobi yang baik sepatutnya akan mendatangkan kebaikan kepada kita.

Fakta: Kebaikan Hobi Saya. (Versi 1)

Setiap orang mempunyai hobi. Tulis kebaikan hobi yang kamu gemari.
_________________________________________________________________________

Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang. Antara contoh-contoh hobi ialah memancing, mengumpul setem, membaca, melukis dan bersukan. Saya juga mempunyai hobi iaitu bermain bola sepak. Saya melakukan aktiviti ini pada setiap petang kecuali jika ada urusan lain yang lebih penting.

Saya memilih bermain bola sepak sebagai hobi kerana minat saya yang mendalam terhadap permainan ini. Oleh sebab itulah saya selalu menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di kaca televisyen. Selain itu, saya juga pernah pergi ke studium Bukit Jalil dengan keluarga saya untuk menonton suatu perlawanan akhir bola sepak . 

Hobi ini banyak memberi kebaikan kepada saya. Antara kebaikan tersebut ialah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, menyihatkan badan, menjadikan saya cergas serta cerdas dan menambahkan kenalan. Pada waktu lapang seperti pada waktu petang, saya dapat mengisi masa lapang ini dengan bermain bola sepak. Aktiviti ini mengelakkan saya daripada terjebak dalam kegiatan yang merugikan seperti melepak dan sebagainya.

Selain itu, hobi ini juga dapat menyihatkan tubuh saya kerana permainan ini menyebabkan badan saya berpeluh, jantung saya berfungsi dengan baik dan melangsingkan badan saya. Oleh sebab itulah saya jarang terkena penyakit seperti demam dan sebagainya. Saya juga tidak risau tentang masalah kegemukan yang boleh mendatangkan penyakit yang merbahaya seperti darah tinggi, kecing manis dan lain-lain lagi.

Permainan bola sepak juga menyebabkan badan saya cergas dan otak saya cerdas. Saya perlu melakukan tindakan-tindakan yang tangkas serta lasak dalam permainan ini. Hasilnya otot-otot badan saya menjadi kuat dan pergerakan saya lebih pantas. Selain itu, saya juga tidak mudah berasa lesu atau penat. Ini membantu saya sentiasa cergas semasa belajar di sekolah atau semasa mengulang kaji pelajaran di rumah. Badan saya yang sihat dan bertenaga juga membolehkan saya mudah memahami sesuatu pelajaran. Oleh sebab itu, saya sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

Di samping itu, saya memperoleh ramai kenalan melalui hobi ini. Permainan bola sepak memerlukan pemain yang ramai. Oleh itu, saya berpeluang menambahkan kenalan terutama apabila melibatkan pertandingan dengan pasukan bola sepak dari luar.  

Kesimpulannya setiap orang mempunyai hobi tersendiri. Kita bebas memilih hobi yang kita gemari, bak kata pepatah "Tepuk dada, tanya selera". Namun, perlu kita ingat hobi tersebut tidak seharusnya merugikan kita. Sesuatu hobi yang baik dan sesuai sepatutnya akan mendatangkan kebaikan kepada kita.

Fakta: Faedah-faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum


Tulis faedah menyertai aktiviti kokurikulum.

_____________________________________________________________________________


Faedah-faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan ini mempunyai banyak faedahnya.
         
Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat memenuhkan masa lapang. Pelajar yang aktif dalam kegiatan ini akan terhindar daripada terlibat dengan gejala sosial kerana banyak masa mereka digunakan untuk aktiviti kokulrikulum di sekolah seperti sukan dan sebagainya. Oleh itu, masa lapang dapat diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah.
         
Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan seperti jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Sebagai contoh, apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Dengan itu, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
             
Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Sebagai contoh, kegiatan-kegiatan ini dijalankan mengikut peraturan dan jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu mematuhi peraturan dan jadual tersebut supaya segala aktiviti yang direncana dapat dijalankan dengan lancar. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Tambahan pula, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab tentunya disertai oleh ramai ahli serta terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul dan bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan seterusnya akan mewujudkan perpaduan antara kaum.
     
Akhir sekali, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai pertandingan bola sepak dan sebagainya. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu, badan kita akan mengeluarkan peluh. Ini tentu akan menjadikan kita cergas, sihat, kuat dan tidak akan mudah dijangkiti penyakit.  

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam kegiatan ini demi kebaikan anak-anak mereka.

___________________________________________________________________________

Fakta: Langkah-langkah Mewujudkan Minat Membaca dalam Kalangan Para Pelajar

Terangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mewujudkan minat membaca dalam kalangan para pelajar. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan :

Pendahuluan 
-membaca banyak kebaikannya
-mesti dipupuk sejak kecil

Perenggan ke-2 
-pihak sekolah memainkan peranan
-mengadakan kempen membaca 
-perpustakaan yang lengkap dan menarik

Perenggan ke-3 
-ibu bapa memupuk minat membaca anak-anak
-peruntukkan wang untuk buku anak-anak 

Perenggan ke-4 
-harga buku berpatutan
-semua golongan mampu membeli buku

Penutup 
-membaca penting
-mesti dipupuk sejak di bangku sekolah


***********************************


Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, minat membaca dalam kalangan para pelajar mestilah dipupuk sejak dari kecil lagi.

    Antara langkah-langkah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan para pelajar adalah dengan mengadakan Progaram Kempen Membaca di sekolah. Pihak sekolah boleh menjalankan kempen ini dengan mengadakan pelbagai pertandingan seperti pertandingan mengarang esei, buku skrap dan sebagainya.

    Selain itu, perpustakaan sekolah perlulah selesa serta dilengkapi dengan bahan bacaan dan kemudahan yang mencukupi. Ini akan menarik minat pelajar mengunjungi perpustakaan untuk membaca buku.

    Ibu bapa pula mestilah memainkan peranan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku-buku yang bersesuaian untuk bacaan anak-anak mereka. Jadikan membaca sebagai aktiviti harian keluarga dan wujudkan perpustakaan mini di rumah.

    Pihak kerajaan pula perlulah menyediakan baucar khas kepada Para Pelajar yang kurang berkemampuan supaya semua golongan pelajar mampu membeli buku-buku yang mereka perlukan.

    Kesimpulannya, membaca adalah jambatan ilmu yang menghubungkan insan dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, minat membaca perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

Fakta: Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Ceritakan tentang kebaikan-kebaikan menyimpan wang di bank. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

* * * * *
Rangka Karangan :

Pendahuluan
-digalakkan simpan wang di bank kerana banyak kebaikannya
-buka akaun bank sebelum boleh menyimpan wang
-banyak pilihan bank

Perenggan ke-2
-simpanan dijamin selamat
-kehilangan atau kecurian, tanggungjawab bank
-bencana alam, tangungjawab bank

Perenggan ke-3
-menjamin masa hadapan
-contoh; membiayai pengajian
-perlu menyimpan secara tetap

Perenggan ke-4
-cermat berbelanja
-pandai menguruskan wang sendiri
-lepas daripada masalah kewangan                            

Penutup  
-amalan menyimpan wang perlu diamalkan
-kehidupan akan lebih terjamin


**   **   **   **   **

Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.

Fakta: Masa Itu Ibarat Emas

Masa itu ibarat emas. Oleh itu, kita mestilah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dengan tidak melakukan aktiviti yang boleh merugikan. Gunakanlah masa lapang kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah.  

Pada masa cuti sekolah, kita boleh menggunakan masa lapang itu untuk melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti menolong ibu bapa di rumah. Kita boleh membantu mereka dengan mengemas rumah, menyiram pokok bunga, menolong ibu memasak dan lain-lain lagi. Ini dapat meringankan tugas ibu bapa dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.

Selain itu, masa lapang haruslah kita gunakan untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran. Aktiviti ini boleh menambahkan kemahiran dan kecekapan kita dalam sesuatu mata pelajaran. Kita juga akan dapat membaiki kelemahan dalam pelajaran. Ini akan membantu kita lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Selain itu, jika ada kesempatan, kita boleh berkelah bersama keluarga. Dengan berkelah, kita dapat merehatkan fikiran dan menyegarkan minda setelah penat berlajar. Apatah lagi berkelah juga dapat mengeratkan tali persaudaran kerana kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain, makan dan sebagainya bersama keluarga

Masa lapang terutamanya pada musim cuti sekolah juga boleh kita gunakan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Ini dapat mengeratkan persaudaraan antara saudara mara, di samping dapat  melancong dan menikmati keindahan alam.

Kesimpulannya, masa amat berharga. Justeru, hargailah masa demi kehidupan yang lebih sempurna. Masa cuti sekolah atau masa lapang boleh dilalui dengan perkara yang tidak sia-sia apabila kita menghargai masa.

Fakta: Faedah-faedah Memanfaatkan Perpustakaan

Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperolehi jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.

**   **   **   **   **

Perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Di perpustakaan terdapat banyak buku-buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, buku rencana dan lain-lain lagi. Dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran.

Murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah. Sebaliknya, gejala yang tidak sihat akan mengelapkan masa depan mereka.

Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

Perpustakaan juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Ini tentu dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, menfaatkanlah perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan.


Fakta: Kebaikan Buah-buahan Tempatan

Rakyat Malaysia digalakkan makan lebih banyak buah-buahan tempatan. Tuliskan tentang kebaikan buah-buahan tempatan.

** *  ***   ***   ***   ***

Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang terdapat di negara kita Malaysia. Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, rambutan, langsat dan lain-lain lagi.

Rakyat Malaysia digalakkan mengambil buah-buahan tempatan kerana buah-buahan tempatan masih segar. Oleh itu, buah-buahan ini tentu lebih berkhasiat kerana kandungan berbagai-bagai jenis zat dan vitaminnya masih terpelihara dan ini tentunya lebih baik untuk kesihatan kita.

Buah-buahan tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan ini seperti pisang dan betik boleh kita tanam sendiri di sekeliling rumah, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kampung. Ini akan akan memudah kita mendapatkan buah-buahan ini tanpa perlu pergi ke kedai dan sebagainya.

Buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung kita telah membantu negara dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negara.

Kesimpulannya, kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana banyak kebaikannya. Tambahan pula buah-buahan tempatan didapati lebih murah daripada buah-buahan import. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia dapat menikmati buah-buahan ini tanpa mengira kaya atau miskin.




Fakta: Langkah-langkah Untuk Memastikan Kejayaan Dalam Pelajaran



Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Tuliskan sebuah karangan tentang langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran.

*** *** *** *** ***

Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Pelajaran dapat menjamin masa depan pelajar dalam apa juga bidang yang mereka minati. Oleh itu, pelajar haruslah belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka berjaya pada masa hadapan.

Antara langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran ialah berniat atau berazam memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Keazaman yang tinggi akan mendorong pelajar berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Seterusnya pelajar hendaklah menumpukan perhatian semasa guru mengajar bagi memastikan mereka faham akan apa yang dipelajari di kelas. Mereka juga mestilah segera bertanya guru jika tidak faham akan sesuatu topik pelajaran supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

Selain itu, pelajar haruslah membuat jadual waktu di rumah bagi memastikan mereka dapat menggunakan masa seperti yang dirancang. Apabila pelajar pandai membahagikan masa, ini akan membantu mereka berjaya dalam pelajaran.

Di samping itu, jagalah kesihatan dengan mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat supaya pelajar sentiasa berkeadaan cergas dan cerdas. Kesihatan yang baik akan memudahkan pelajar memahami apa yang dipelajari.

Dalam pada itu, disiplin diri juga menjadi faktor kejayaan seseorang pelajar dalam pelajaran. Pelajar yang berdisiplin akan membolehkan mereka berjaya dalam pelajaran kerana mereka tidak terjerat dengan pelbagai masalah disiplin yang boleh menggangu mereka dalam pelajaran.

Kesimpulannya pelajaran amat penting kepada para pelajar. Orang yang berilmu sudah tentu akan dipandang mulia. Oleh itu, kita mestilah mengikut langkah-langkah yang betul untuk berjaya dalam pelajaran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut