Memaparkan catatan dengan label Autobiografi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Autobiografi. Papar semua catatan

Autobiografi: Aku Sebuah Televisyen

Kerangka Karangan

-Dilahirkan di sebuah kilang Panasonic di Shah Alam.
-Dihantar ke sebuah kedai elektrik di Kuala Lipis.
-Dipamerkan di dalam almari kaca.
-Dibeli oleh seorang lelaki.
-Diletakkan di ruang tamu rumahnya.
-Aku digunakan dengan lasak setiap hari.
-Rosak akibat petir.
-Dibuang


Contoh Karangan

                                                             
Aku Sebuah Televisyen

          Aku dilahirkan di sebuah kilang televisyen Panasonic di Shah Alam. Badanku berbentuk leper dan kebanyakan bahagian badan ku diperbuat daripada plastik. Aku dicipta untuk membolehkan manusia menonton berita, cerita dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka sering menggunakan aku untuk berhibur. Oleh itu, ramai manusia ingin memiliki aku untuk berhibur semasa mereka di rumah, di warung-warung dan sebagainya.

          Setelah aku dan rakan-rakan selesai dipasang dan diuji, kami diletakkan di dalam sebuah kotak yang selesa untuk dihantar ke kedai-kedai elektrik di seluruh Malaysia. Aku dihantar ke sebuah kedai di Bandar Kuala Lipis, Pahang. Kemudian, aku dipamerkan di dalam almari kaca di kedai tersebut.

          Setiap kali pengunjung datang ke kedai itu, mereka pasti akan melihat-lihat aku. Ramai yang bertanya tentang hargaku dan memuji-muji akan kecantikan dan kecanggihan aku. Walau bagaimanapun, mereka tidak membeliku kerana hargaku agak mahal.

          Pada suatu hari, aku dikunjungi oleh seorang lelaki muda. Dia sangat meminatiku lalu cuba tawar-menawar dengan tuan kedai untuk membeliku. Akhirnya dia bersetuju membeliku dengan harga RM3600.00.

          Selepas itu, aku dibawa balik ke rumahnya di Kampung Merapoh dan diletakkan di ruang tamu rumahnya. Aku lihat isteri  dan anak-anaknya sangat gembira memperolehi aku. Sejak dari hari itu, aku sering digunakan oleh mereka tanpa mengira waktu.

          Walaupun aku berasa sangat penat, namun aku terpaksa menunaikan tanggungjawabku menghiburkan mereka. Kadang-kadang aku terus dipasang walaupun pada waktu hujan dan kilat sambar-menyambar. Aku berasa sedih kerana mereka tidak memperdulikan akan keselamatan diriku.

          Pada suatu malam, aku terpadam secara tiba-tiba akibat disambar petir semasa mereka asyik menontonku. Aku telah dibawa ke kedai untuk dibaiki namun tidak berjaya kerana perutku telah hangus terbakar. Akhirnya aku dibuang ke tempat perlupusan sampah. Aku berasa amat sedih tetapi aku tetap berasa bangga kerana dapat juga aku membuat bakti menghiburkan keluarga tuanku semasa hidupku.








Autobiografi: Aku Sehelai Kain Pelikat

Kerangka Karangan

-Dimasukkan ke dalam kotak yang cantik berwarna-warni.
-Dihantar ke sebuah pasar raya
-Dipamerkan di dalam pasar raya itu.
-Dibeli oleh seorang lelaki yang agak berumur.
-Tuan baru ku amat menyayangi ku.
-Digunakan olehnya untuk bersolat.



Contoh Karangan

Aku dilahirkan di sebuah kilang kain yang terletak di Temerloh, Pahang. Aku dipanggil kain pelikat. Aku dibuat daripada bahan-bahan yang berkualiti dan kukuh supaya aku tahan dan selesa dipakai. Setelah aku dibuat sempurna, aku diletakkan di dalam kotak kecil yang cantik dan berwarna warni. Kemudian, aku bersama kain sejenis ku yang lain dimasukkan ke dalam kotak yang lebih besar untuk diedarkan ke kedai-kedai pakaian di seluruh dunia.

Aku dihantar ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Aku berasa agak kecewa kerana diedarkan di dalam negara sahaja sedangkan aku sebenarnya ingin melancong ke luar negara. Aku berasa cemburu melihat akan kain-kain lain yang dihantar ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara seperti Arab Saudi, Jepun dan German. Namun aku sedar ini sudah ditakdirkan dan aku harus merelakannya dan bersyukur.

Di pasar raya itu aku dipamerkan di sebuah almari kaca yang berlampu kerana aku adalah kain yang berkualiti dan mahal. Ramai pengunjung suka melihat ku yang cantik tetapi mereka tidak tidak mampu membeli ku. Aku gembira berada di situ kerana tempatnya selesa dan aku dapat melihat pelbagai ragam manusia yang berkunjung ke pasar raya itu.

Pada suatu hari aku dikunjungi oleh seorang lelaki yang agak berumur. Setelah melihatku seketika, dia bersetuju membeliku dengan harga RM80.00. Aku berasa gementar kerana aku tidak tahu sikap tuan baru ku ini sama ada baik terhadapku nanti atau sebaliknya. Aku dibawa menaiki sebuah kereta buatan Malaysia iaitu Proton Exora. Aku diletakkan di tempat yang selesa dan selamat di dalam kereta itu. Aku sedar tuan ku amat menyayangi ku.

Tiba-tiba tuan aku berhenti di sebuah masjid di tepi sebatang jalan raya. Kemudian, dia membawa ku ke masjid itu. Setelah selesaikan mengambil air sembahyang, tuan memakai ku untuk bersolat. Aku amat gembira kerana inilah kali pertama aku dapat berbakti kepadanya. Lebih bermakna lagi aku digunakan oleh insan untuk bersujud kepada Allah yang Maha Esa.

Kini aku bersyukur kerana mendapat tuan yang baik. Aku berharap tuan aku sentiasa menggunakan aku untuk bersolat dan beribadah hingga ke akhir hayatku.  

Autobiografi: Aku Sehelai Baju

Aku sehelai baju.

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam almari cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.00.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadis bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku, mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau badanku terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Namun sudah terlambat kerana sebahagian badanku telahpun hangus. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Autobiografi: Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari "Negara Matahari Terbit". Aku dibuat di sebuah kilang di negara maju itu. Badanku terdiri daripada besi, getah, kaca dan plastik.

Setelah siap dipasang, aku digelar basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain ditempatkan di sebuah bilik di kilang itu sementara menunggu untuk dipasarkan. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai kawan-kawan memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pelabuhan untuk menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan beberapa orang kelasi kapal itu, aku dengar ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memiliki kami. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang. Tanpa disangka kapal yang kami naiki karam setelah dipukul ombak besar. Aku dan kawan-kawanku tenggelam ke dasar laut. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku naik ke daratan. Akhirnya kami dihantar ke kilang kitar semula.

Aku berasa sungguh kesal kerana telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia. Bagaimanapun, itu tidak penting kerana aku yakin semuanya adalah ketentuan Tuhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut