Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Rencana: Banjir



Tulis sebuah karangan tentang ‘Banjir’. Panjang jawapan kamu tidak kurang daripada 80 patah perkataan.




Rangka Karangan : 

Pendahuluan  - bencana alam
                          -sering melanda pada akhir tahun di Pantai Timur.
                          -berlaku akibat hujan lebat tanpa henti (tengkujuh)

Perenggan ke-2   - kerap melanda di kawasan rendah dan tepi sungai.
                                   - banyak harta benda musnah
                                   - haiwan ternakan dan tanaman mati
                                   - kerugian besar             

Perenggan ke-3  - mengancam nyawa
                             - aliran air deras dan dalam
                             - lemas    

Perenggan ke-4  - pelbagai benda merbahaya dihanyutkan air
                             - ada yang nahas terkena atau terperangkap benda  
                                    merbahaya
                             - airnya tercemar dan boleh menyebarkan penyakit
                                  
Penutup     - berhati-hati
         - berpindah segera sebelum air naik 

***************************************** 

Banjir

Banjir adalah bencana alam yang sering melanda negara kita terutamanya di negeri -negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Kebiasaannya negeri-negeri ini akan mengalami musim tengkujuh pada setiap akhir tahun. Hujan lebat yang kerap berlaku pada musim itu menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

Banjir kerap melanda kawasan-kawasan yang rendah seperti kawasan berhampiran sungai. Banyak harta benda yang musnah serta binatang ternakan dan tanaman mati. Mereka yang terlibat seperti para petani akan mengalami kerugian besar.

Banjir juga boleh mengancam nyawa. Ramai yang lemas kerana bermain dengan air banjir yang alirannya  deras dan dalam. Apatah lagi jika mereka tidak tahu berenang.

Air banjir yang keruh menghanyutkan pelbagai benda yang berbahaya seperti kayu tajam, tali dan sebagainya. Ada yang nahas kerana terlanggar atau terperangkap dengan benda-benda yang dihanyutkan air deras ini. Air banjir juga tercemar dengan pelbagai kotoran daripada air kumbahan, bangkai binatang dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebarkan penyakit. Justeru, janganlah mengambil air banjir untuk diminum, apatah lagi jika tidak dimasak.   

Oleh itu, apabila tiba musim hujan kita mestilah berhati -hati. Adalah lebih baik jika kita berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air naik.  

Rencana: Kebaikan-kebaikan Perpustakaan


Perpustakaan Negara

Perpustakaan ialah suatu tempat terkumpulnya bahan-bahan bacaan. Ramai orang mengunjungi perpustakaan kerana di situ mereka boleh membaca bahan-bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, surat khabar dan lain-lain lagi secara percuma. Oleh itu, sudah tentulah perpustakaan memberi banyak kebaikannya kepada kita semua.

Di perpustakaan, kita akan dapat menambah ilmu pegatahuan. Melalui pembacaan di situ, sudah tentu pengetahuan kita akan bertambah seperti mengetahui peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.

Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah dengan mengunjungi perpustakaan. Ini mengelakkan kita daripada membuang masa secara sia-sia serta menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti melepak dan sebagainya.

Perpustakaan juga dapat membentuk disiplin para pelajar. Ini kerana di perpustakaan terdapat pelbagai peraturan antaranya mesti senyap, memulangkan buku dalam tempohnya dan menjaga kebersihan perpustakaan. Peraturan ini akan mendisiplinkan diri kita kerana jika ingkar, mungkin kita akan didenda.

Di samping itu, pembacaan bahan-bahan bacaan di perpustakaan akan dapat menambah pembedaharaan kata kita. Ini pasti akan membantu kita bertutur dan menulis karangan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap suka mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat kita perolehi.

Rencana: Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid-murid

Jangan salahkan kerusi ini jika awak yang sebenarnya pemalas.


Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid-murid

Disiplin amat penting kepada murid-murid. Apabila murid-murid mematuhi peraturan sekolah, ini bermakna mereka telah berdisiplin. Antara peraturan sekolah yang mesti dipatuhi ialah menepati masa, memakai lencana, berambut pendek dan lain-lain lagi.

    Murid-murid yang berdisiplin akan mewujudkan keadaan yang lebih selesa di dalam kelas. Mereka akan sentiasa menjaga tingkah laku agar tidak melanggar peraturan sekolah seperti berbuat bising, bergaduh, membuli  dan seumpamanya. Sikap ini dapat mengelakkan mereka daripada mendapat masalah seperti di denda oleh guru, tidak dipercayai, ketinggalan dalam pelajaran dan sebagainya yang boleh menganggu pelajaran mereka

    Murid-murid yang menjaga disiplin juga kebiasaannya akan cemerlang dalam pelajaran. Sudah pasti murid-murid akan lebih selesa belajar dalam suasana disiplin mereka terkawal. Hal ini membolehkan mereka memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Apabila itu berlaku, sudah tentulah mereka lebih mudah memahami ilmu yang disampai oleh guru. Oleh itu, timbullah keyakinan diri mereka untuk menguasai pelajaran. Keadaan ini akan mendorong mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan natijahnya, mereka akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Kejayaan ini tentulah akan mencerahkan masa depan mereka.

    Selain itu, murid-murid yang berdisiplin akan disukai dan disayangi oleh guru-guru serta rakan-rakan. Oleh sebab itulah, mereka akan dipilih sebagai pemimpin seperti pengawas, ketua darjah, pengawas perpustakaan dan lain-lain lagi. Hal ini mengasah bakat kepimpinan mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.  

    Di samping itu, murid-murid yang menjaga disiplinnya tidak mudah terjerumus dalam masalah besar atau masalah yang berpanjangan. Hal ini disebabkan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan walaupun pada ketika mereka diganggu atau dibuli oleh pelajar lain dan sebagainya. Mereka tidak akan bertindak mengikut perasaan atau diluar batasan dengan mengenepikan peraturan.  Hal ini mengelakkan mereka daripada masalah yang lebih besar atau berpanjangan seperti pergaduhan, mencederakan orang lain dan sebagainya.  

Kesimpulannya, disiplin amat penting kepada murid-murid. Murid yang berdisiplin akan cemerlang manakala murid yang tidak berdisiplin akan merugikan diri sendiri. Oleh itu, amalkan disiplin diri untuk kebaikan diri kita pada masa hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut