Memaparkan catatan dengan label Melengkapkan Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melengkapkan Cerita. Papar semua catatan

Melengkapkan Cerita

Tulis sebuah cerita dan akhiri cerita kamu dengan ayat-ayat di bawah.


.......... aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku  terus memelukku sambil menitiskan air mata.


Aku sungguh kecewa dengan keputusan peperiksaan yang aku peroleh baru-baru ini. Begitu juga dengan kedua-dua rakan karibku iaitu Azlan dan Mahir. Kami kecewa dengan keputusan peperiksaan tersebut kerana kurang baik, bahkan merosot daripada sebelumnya.

Setelah berbincang bagi membaiki keadaan tersebut, akhirnya kami membuat keputusan untuk belajar bersama-sama dengan menubuhkan kumpulan belajar.

Kemudian, kami berbincang untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai untuk kami berkumpul. Akhirnya kami bersetuju berkumpul pada setiap petang Ahad di rumah kami secara bergilir-gilir. Kami belajar bermula pada pukul 4 petang hingga pukul 6 petang. Jika ada kelapangan pula, kami akan pergi ke perpustakaan untuk membuat rujukan dan sebagainya.

Aku sangat seronok belajar secara berkumpulan kerana melalui cara ini kami dapat berbincang untuk menyiapkan kerja rumah atau membuat latihan. Kami juga dapat bertukar-tukar nota. Aku berasa lebih bersemangat untuk belajar kerana banyak masalah pelajaran sebelum ini berjaya di atasi setelah kami belajar bersama-sama.

Tibalah masanya keputusan akhir tahun diumumkan. Akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang sungguh cemerlang. Aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air mata.    

Melengkapkan Cerita: Alia

Aku dan rakan-rakan menyertai latihan sukan di sekolah. Semasa latihan tersebut berlangsung aku terdengar jeritan. Aku pun…

Mulakan cerita dengan:
             Aku pun…
_____________________________________________

Aku pun segera berlari ke belakang astaka kerana jeritan tersebut datangnya dari situ. Setibanya di belakang astaka, aku terkejut benar apabila mendapati Alia meraung kesakitan sambil memegang kakinya. Wajahnya pula berpeluh dan pucat.

Aku segera menghampirinya untuk bertanya akan puncanya. Dia segera menunjukkan kakinya yang bengkak dan lebam. “Kaki ku terperosok ke dalam lubang ini semasa aku berlari di sini tadi”, rintihnya sambil menunjukkan sebuah lubang kecil di situ.

Aku memintanya bertenang sementara aku pergi meminta bantuan. Kemudian aku terus berlari meminta pertolongan daripada Cikgu Hamidi yang kebetulan sedang berjalan menuju ke astaka tersebut.

Dengan segera, Cikgu Hamidi mendapatkan Alia untuk memberikan pertolongan. “Kaki Alia cuma terseliuh sahaja”, kata cikgu Hamidi setelah memeriksa kaki Alia. Aku bersyukur kerana kecederaan Alia tidaklah begitu teruk.

Kemudian, Cikgu Hamidi meminta aku memanggil beberapa orang pelajar lain untuk mengangkat Alia ke kantin sekolah sementara beliau ke bilik guru untuk mengambil minyak urut.

Di kantin, aku menggosok kaki Alia yang cedera dengan minyak gamat yang diberi oleh Cikgu Hamidi. Sambil tersenyum, Alia segera mengucapkan terima kasih kepada kami sejurus aku selesai menyapukan minyak urut di kakinya.

Sebelum bersurai daripada latihan sukan petang itu, Cikgu Hamidi mengingatkan para pelajar supaya tidak bermain di belakang astaka kerana permukaan tanah di situ masih belum diratakan kerana kerja-kerja pengubahsuaian astaka masih dalam pembinaan . 

Menyambung Cerita: Anita Terkena Jerat



Keseronokan meneroka Hutan Simpan itu menyebabkan kami lupa akan kepenatan yang kami alami. Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…

Mulakan cerita kamu dengan, ‘Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…’

--------------------------------------------------------------------------------
Rangka karangan:
- terpijak jerat
- badannya tergantung di atas pokok
- cikgu mententeramkan Anita.
- cikgu meniliti jerat
- punca ikatan dijumpai
- murid diminta menyambut Anita
- murid lain memegang tali yang akan dihuraikan
- kami bersyukur kerana Anita selamat.
----------------------------------------------------------------------

Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit meminta tolong. Kami semua amat terkejut lantas menoleh ke arahnya. Alangkah terkejutnya apabila terlihat Anita terbuai-buai pada seutas tali yang tergantung pada sebatang dahan pokok. Tanpa berlengah, kami terus berlari menghampirinya. Rupa-rupanya kaki kanan Anita telah terkena jerat yang mungkin dipasang oleh pemburu.

Anita menangis dan meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada lilitan jerat tersebut. Cikgu Ali segera mententeramkan Anita kerana bimbang kaki Anita akan tercedera teruk.

Kemudian, Cikgu Ali melihat jerat itu dengan teliti untuk mencari jalan melepaskan Anita. Akhirnya, kami menemui punca ikatan jerat itu yang diikat pada pangkal pokok tersebut. Bolehlah Anita diturunkan dengan melepaskan ikatan itu nanti.

Cikgu Ali menyuruh kami bersedia di bawah tempat Anita tergantung untuk menyambutnya. Manakala beberapa orang murid lagi diminta untuk memegang tali yang akan dihuraikan oleh Cikgu Ali supaya Anita dapat diturunkan dengan perlahan-lahan.

Setelah kami semua bersedia, Cikgu Ali pun membuka ikatan jerat itu dengan berhati-hati. Kemudian, Anita diturunkan dengan perlahan-lahan. Akhirnya, Anita berjaya diturunkan dengan selamat.

Kami semua berasa amat bersyukur atas kejayaan itu. Kemudian, Cikgu Ali meminta kami berwaspada kerana di dalam hutan begini, banyak perkara yang tidak diduga boleh berlaku.

Melengkapkan cerita: Serina Demam Panas

Tiba-tiba aku terdengar orang mengetuk tingkap bilikku. Aku ....

***   ***   ***   ***   ***

Tiba-tiba aku terdengar orang mengetuk tingkap bilikku. Aku segera membuka tingkap.
Rupa-rupanya jiranku, Mak Cik Jamilah. Mak Cik Jamilah memberitahuku bahawa anaknya diserang demam panas. Manakala, suaminya pula tiada di rumah kerana sedang berkursus. Dia ingin meminta bantuan kami untuk membawa anaknya ke hospital dengan segera.

Aku segera ke ruang tamu. Aku memberitahu ayah dan ibuku bahawa anak mak cik Jamilah diserang demam panas. Ayah dan ibuku segera ke rumah jiranku itu untuk melihat keadaannya.

Ibu dan Mak Cik Jamilah memapah Serina masuk ke dalam kereta ayahku untuk dibawa ke hospital. Manakala, ibu menyuruh aku menjaga rumah dan mengunci pintu. 

Aku berasa bimbang akan keaadan Serina yang diserang demam panas. Aku hanya mampu berdoa kepada Allah supaya Serina selamat.

Sejam kemudian, aku terdengar enjin kereta ayahku. Aku segera membuka pintu. Ibu memberitahu aku bahawa Serina ditahan di wad.

Dua hari kemudian, Aku dan keluargaku menziarahi Serina di hospital. Aku bersyukur kerana Serina sudah hampir sembuh. Mak cik Jamilah dan pak cik Jamil mengucapkan terima kasih kepada kami sekeluarga.

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku hilang

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba .....

***   ***   ***   ***   ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam tanganku sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana kawasan itu mulai sunyi.

Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran. Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku terus menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan tenang, ibuku memintaku jangan ke mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.

Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat kunci untuk menempah kunci baru basikalku.

Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas tambahan. Ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana bimbang akan keselamatanku jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan dihantar oleh ayah setiap kali ada kelas tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai.

Melengkapkan cerita: Membantu Mak Cik Nadia

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan .....

***   ***   ***   ***   ***

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan pulang, aku terdengar suara wanita menjerit. Rupa-rupanya beg tangan wanita itu diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal. Apa yang mengejutkan aku, wanita itu ialah jiranku Mak Cik Nadia.

Aku terus mencatat nombor plat motosikal yang ditunggang oleh dua orang peragut tersebut. Aku memujuk Mak Cik Nadia supaya bersabar. Nasib baik Mak Cik Nadia tidak mengalami kecederaan yang teruk.

Aku terus ke pondok telefon yang berhampiran untuk menelefon pihak polis. Tidak lama kemudian, beberapa orang polis datang. Mereka membawa aku dan Mak Cik Nadia ke balai polis untuk membuat laporan. Aku memberitahu nombor plat motosikal dan jenis motosikal peragut itu. Aku juga memberitahu yang mereka melarikan diri  ke Jalan Sulaiman. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku.

Setelah beberapa jam, pihak polis berjaya memberkas dua orang lelaki tersebut. Pihak polis menghantar aku dan Mak Cik Nadia pulang ke rumah. Ibu bapaku berasa terkejut sebaik sahaja melihat aku keluar dari kereta polis. Pihak polis menceritakan kepada ibu bapaku apa yang terjadi.

Melengkapkan Cerita: Lembaga itu, Hantu?

Soalan

Pada petang itu, aku terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah kerana basikalku hilang. Tiba-tiba ....

Mulakan cerita anda dengan : Tiba-tiba ...

Contoh Jawapan

Pada petang itu, aku terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah kerana basikalku hilang. Tiba-tiba, aku ternampak sebuah bas yang dipandu perlahan. Aku menahan bas itu untuk pulang ke rumah. Aku menaiki bas tersebut dengan perasaaan gembira. 

Sedang aku leka melihat pemandang di luar bas, tiba-tiba aku terdengar bunyi letupan kuat. Rupa-rupanya tayar bas itu telah pancit. Aku terpaksa turun dari bas itu lalu berjalan kaki semula. 


Aku berjalan seorang diri ketika hujan renyai-renyai mulai turun. Aku ingin mengikut jalan pintas tetapi aku berasa takut pula. Aku memberanikan diri melalui jalan pintas itu walaupun aku tahu laluan itu amat sunyi dan gelap pada waktu sebegini. Jalan pintas itu merentasi kebun getah dan kawasan semak. Kedengaran pelbagai bunyi serangga dan unggas yang menakutkan semasa aku melalui jalan itu.

Tiba-tiba, aku terdengar suara memanggil-manggil namaku. Aku berasa amat takut kerana aku fikir suara itu suara jin atau hantu yang ingin menggangguku. Aku terus menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya aku apabila terlihat satu lembaga putih melambai-lambai ke arahku. Apa lagi, akupun terus membuka langkah seribu untuk menyelamatkan diri. Setelah agak jauh berlari dan berasa sudah selamat, akupun bersembunyi di sebalik sebatang pokok dengan nafasku tercungap-cungap.

Tiba-tiba lembaga itu muncul di hadapanku. Aku berlari untuk menyelamatkan diri. Malang sekali, lembaga itu berjaya menangkapku. Dia menyuruhku bertenang. Dalam cahaya samar, aku memberanikan diri, melihat lembaga itu. Alangkah malunya aku. Rupa-rupanya dia ialah abangku sendiri.

Dia disuruh oleh ibu untuk mencari aku yang lewat pulang pada hari itu. Aku menceritakan segala peristiwa kepadanya. Abangku tidak tahan menahan ketawa lalu ketawa berdekah-dekah mendengar ceritaku itu. Walaupun agak memalukan tetapi aku mendapat pengajaran daripada peristiwa itu. Itulah akibatnya orang yang suka menonton cerita hantu. Akhirnya, menjadi penakut dan akan mengambil tindakan melulu kerana takutkan hantu.

Melengkapkan cerita: Menolong Nurul

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati .....

***   ***   ***   ***   ***

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati melihat budak itu.

    Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku. Rupa-rupanya budak itu ialah anak jiranku, Nurul. Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya. Rupa-rupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba mententeramkannya dan berjanji akan menghantarnya pulang.

    Aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Dalam keadaan panas terik, aku terpaksa mengayuh basikalku lebih berat daripada biasa menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ. Ini sungguh memenatkan. Namun, aku gembira kerana dapat menolongnya pulang ke rumahnya.

    Bajuku telah pun basah lencun dengan peluh setibanya kami di halaman rumah Nurul. Nurul kelihatan amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum dia masuk ke rumahnya. Selepas itu, akupun terus pulang ke rumahku.

    Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku menceritakan peristiwa tersebut, mereka memuji tindakanku itu. "Kita haruslah menolong orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara sendiri. Ayah amat bangga akan tindakanmu itu", kat ayah sambil tersenyum kepadaku. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut