Memaparkan catatan dengan label Laporan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Laporan. Papar semua catatan

Laporan: LAPORAN TAHUNAN KELAB ALAM SEKITAR

Kamu sebagai setiausaha Kelab Alam Sekitar diminta menyediakan laporan tahunan persatuan tersebut. Tuliskan laporan kamu selengkapnya.


--------------------


LAPORAN TAHUNAN KELAB ALAM SEKITAR 2021

SEKOLAH KEBANGSAAN SERI TUALANG


Guru Penasihat: Puan Noraisyah binti Mohd Tahir

Pengerusia      : Ahmad Sadrul Faqef bin Latif

Naib Pengerusi: Siti Maisarah binti Lokman

Setiausaha     : Mohd Akhil bin Alias

Bendahari      : Siti Fazliena bin Karim

Ahli Jawatankuasa: Sakinah binti Adam

                            Farid bin Abdul Latif

                            Fazira binti Faiz

                            Azim bin Firdaus


Kelab Alam Sekitar ini telah ditubuhkan pada tahun 2015. Kelab ini mempunyai ahli seramai 45 orang yang terdiri daripada murid-murid tahap dua. 

    Pada penggal pertama, kelab kami telah mengadakan gotong-royong membersih dan mencantikkan kawasan sekolah. Semua ahli Kelab Alam Sekitar mengambil bahagian menjayakan program tersebut. 

    Sepanjang hari persekolahan, kami mengumpul barang-barang terpakai seperti surat khabar lama, botol-botol plastik, bekas-bekas makanan plastik dan lain-lain lagi. Apabila barang tersebut telah cukup dikumpul, kami menjualnya kepada syarikat kitar semula. Dengan cara itu, kami dapat menambahkan tabungan kelab kami.

    Dalam bulan Mei, kami telah membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Kitar Semula di Temerloh. Melalui lawatan ini, kami dapat banyak ilmu pengetahuan tentang bagaimana barang-barang terpakai dikitar semula.

Pada bulan Oktober, kami mengadakan pertandingan reka cipta daripada bahan-bahan terbuang. Pertandingan itu mendapat sambutan daripada ahli-ahli kelab.

Kami berharap agar Kelab Alam Sekitar akan sentiasa aktif. Semoga ahli-ahlinya sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.


Laporan disediakan oleh,           25 NOVEMBER 2021  


.....................

(MOHD AKIL BIN ALIAS)

Setiausaha Kelab Alam Sekitar,

SK Seri Tualang, Temerloh, Pahang. 

Sambutan Hari Alam Sekitar



Sambutan Hari Alam Sekitar

Pada Rabu, 10 Ogos 2016, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan sambutan hari Alam Sekitar bertemakan “Sayangi Bumi”. Sambutan ini disertai oleh semua warga sekolah iaitu guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menyedarkan warga sekolah akan tanggungjawab mereka kepada bumi dengan tidak melakukan aktiviti pemusnahan alam sekitar dan mengelakkan pembaziran sumber tenaga.

       Sambutan itu bermula seawal pukul  7.30 pagi apabila semua warga sekolah diminta berkumpul di dataran sekolah untuk perhimpunan pagi. Ustaz Azril diminta membacakan doa sebelum lagu Negaraku, lagu Kebangsaan Negeri Pahang dan lagu sekolah dinyanyikan oleh warga sekolah. Kemudian, Guru Besar iaitu Encik Mohamad bin Zainal Abidin merasmikan sambutan hari Alam Sekitar itu.

       Selepas itu, kira-kira pada pukul 9.00 pagi, aktiviti luar kelas pula dijalankan. Aktiviti-aktitvitinya  ialah gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengumpulkan sumbangan barangan terpakai dan jualan hasil seni daripada bahan kitar semula.

       Pada pukul 11.00 pagi, bermulalah aktiviti yang dinanti-nantikan oleh warga sekolah iaitu persembahan murid-murid di dewan sekolah. Persembahan itu dimulakan dengan aktiviti nyanyian dan bercerita oleh murid-murid Tahap 1. Persembahan seterusnya pula ialah persembahan lakonan dan pidato oleh murid-murid tahap 2. Semua warga sekolah kelihatan gembira menyaksikan persembahan-persembahan itu.

       Sambutan hari Alam Sekitar ini berakhir kira-kira pada pukul 12.00 tengah hari iaitu selepas selesai acara penyampaian hadiah sagu hati kepada murid-murid yang membuat persembahan. Harapan saya agar sambutan Hari Alam Sekitar dapat diadakan lagi pada setiap tahun kerana ia boleh menyedarkan warga sekolah tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Laporan disediakan oleh;                                                                              10 OGOS 2016


(AKBARULLAH BIN AHMAD)

Laporan :Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut. Sediakan laporan itu selengkapnya.

*** *** ***** *** ***

Rangka karangan

Pendahuluan:
-penubuhan persatuan
-anggota persatuan
-tujuan penubuhan

Isi
a)  kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang
b)  ceramah -guru pakar Matematik dan Sains
c)  gotong-royong-menceriakan taman Sains
d)  lawatan ke Taman Herba

Penutup
-berterima kasih kepada guru penasihat.

*** *** *** *** ***

 Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Persatuan Matematik dan Sains Sekolah Kebangsaan Seri Tualang dibentuk pada tahun 1999. Anggota -anggota persatuan ini berjumlah 56 orang. Mereka terdiri  daripada pelajar Tahun Tiga hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik serta memudahkan pelajar bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran ini.

Sepanjang tahun 2011, persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sama ada berbentuk akademik mahupun bukan akademik. Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah "Peraduan Menulis Cerpen Fiksyen Sains". Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi, pelajar Tahun Enam Amanah.

Kami juga menganjurkan ceramah tentang Sains dan Matematik. Ceramah ini disampaikan oleh salah seorang guru pakar Matematik dan Sains daerah Temerloh iaitu Cikgu Azhar Muhammad dari SK Penderas. Selain itu, kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kami memperindahkan kawasan Taman Sains SKST dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan  pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

Pada 25 September 2011, kami telah mengadakan lawatan ke Taman Herba di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur. Taman ini mempunyai lebih dari 90 spesis tumbuhan herba yang ada antaranya amat sukar ditemui. Sebagai hasil lawatan ini, kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan tumbuhan herba dalam bidang perubatan.

Pada keseluruhannya, kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan. Kami juga berterima kasih  kepada guru penasihat, Cikgu Mohd Hamidi yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh,                                                                                         25 Oktober 2011
      Hasif___
(HASIF ZAKWAN BIN MOHD HAMIDI)
Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
Temerloh,
Pahang.

*************************************

Laporan: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-47


Laporan: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-47


Setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan hari kemerdekaan negara bagi mengingati detik bersejarah yang amat berharga kepada semua rakyat Malaysia. Pada tahun ini iaitu tahun 2004, sambutan Hari Kemerdekaan Negera bertempat di Kuantan, Pahang. Sambutan tersebut diadakan pada tarikh 31 Ogos, bersempena hari kemerdekaan negera. Ramai yang datang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama untuk meraikan hari yang bersejarah tersebut.

Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menanam perasaan cinta rakyat Malaysia terhadap Negara. Kemerdekaan daripada penjajahan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ramai pahlawan terpaksa berkorban harta dan nyawa bagi memastikan negara terlepas daripada belengu penjajahan yang menyeksakan. Oleh itu sewajarnyalah kita berganding bahu agar negara kita terus maju, aman dan harmoni.   

Pada tahun ini saya amat gembira kerana pertama kali berpeluang menyaksikan sendiri sambutan itu di Kuantan. Sambutan itu bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dengan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang. Serentak dengan upacara tersebut, semua hadirin berdiri tegak dan menyanyi lagu 'Negaraku' dengan penuh bersemangat. Apatah lagi apabila nyanyian keramat itu disemarakkan dengan alunan muzik yang dimainkan oleh sebuah pasukan pancaragam. Kemudian, hadirin menyanyikan beberapa lagu patriotik antaranya ialah lagu 'Malaysia Jaya', 'Malaysia Maju', dan 'Keranamu Malaysia'. Menarik sekali melihat mereka menyanyikan lagu-lagu tersebut sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Selepas itu perbarisan lintas hormat telah diadakan pada pukul 9.00 pagi oleh murid-murid sekolah, kaki tangan kerajaan, pihak swasta dan lain-lain lagi. Upacara perbarisan ini bertambah menarik dengan munculnya kenderaan-kenseraan pasukan keselamatan negara kita seperti bomba, polis dan tentera serta pelbagai kenderaan yang dihias cantik dengan Bendera Jalur Gemilang dan sebagainya. Semua peserta perbarisan mengibarkan bendera Jalur Gemilang semasa perbarisan tersebut. Lebih menarik lagi apabila serentak dengan upacara tersebut, penerbangan lintas hormat oleh beberapa buah helikopter dan jet pejuang negara kita turut diadakan.

Pada pukul 11.00 pagi, upacara penutup telah diadakan. Saya berasa amat bertuah kerana pada tahun ini saya berpeluang menghadiri Sambutan hari Kemerdekaan yang sungguh meriah. Saya berharap agar sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan dengan lebih meriah lagi pada tahun hadapan. "Saya berasa bangga menjadi Warga Negara Malaysia".


Laporan desediakan oleh,                                                                       6 September 2004

..................................
(NUR SYHIRAH BINTI ABU BAKAR)

Laporan: Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun

Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang lawatan ke sebuah kilang yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh rangka karangan.

Pendahuluan
Persatuan Kemahiran Hidup mengada lawatan ke kilang sabun
- jumlah peserta dan guru yang terlibat dalam rombongan
- tujuan lawatan; mendedahkan tentang proses membuat sabun
- menambahkan ilmu pengetahuan
- memupuk semangat keusahawanan

Perenggan ke-2  
- bertolak dengan menaiki bas
- tiba di kilang sabun dengan disambut oleh pegawai kilang
- mendengar taklimat

Perenggan ke-3  
- dibawa ke bahagian memproses sabun
- proses dijalan dengan mesin berteknologi tinggi
- pekerja kilang memakai pakaian seragam dan sarung tangan khas
- peserta menyoal pekerja kilang dan dilayan mesra

Perenggan ke-4
- dibawa ke bahagian pembungkusan sabun
- pelbagai jenis sabun sedang diproses
- mesin yang canggih
- diberi jamuan ringan
     
Penutup  
- setiap peserta diberi cenderamata sebelum pulang
- cenderamata kepada pihak kilang sebagai tanda penghargaan
- peserta sangat seronok dan mendapat banyak pengetahuan


*** *** *** *** ***


Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun  

           Pada 23 Januari 2010, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Merapoh telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.

           Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.

           Selepas itu para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika bekerja. Di situ, ramai peserta mengambil kesempatan menyoal beberapa orang pekerja kilang yang sedang bertugas dan mereka dilayan dengan mesra.  
    
            Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di kantin kilang tersebut.

              Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap seorang sebagai cenderamata oleh pihak kilang. Guru pengiring iaitu Cikgu Aisyah telah menyampaikan cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Para peserta dilihat sangat seronok menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta dapat melihat sendiri cara-cara membuat sabun.

Laporan disediakan oleh,                                                                               25 Januari 2010

                                                                                          
..................................................
(Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi)
Setiausaha,
Persatuan kemahiran Hidup  

***   ***   ***   ***   ***
Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Syamsul  dan Hasif Zakwan dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang temasya sukan tahunan yang dijalankan di sekolah kamu. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh Rangka Karangan :

Pendahuluan
- temasya sukan kali yang ke-10
- diadakan di padang sekolah

Perenggan ke-2
- sehari sebelum; gotong-royong untuk kerja-kerja persiapan terakhir
- khemah didirikan dan dihias
- papan markah dipasang
- bendera-bendera dikibarkan

Perenggan ke-3
- cuaca pagi temasya sangat baik
- penonton memenuhi ruang tempat duduk
- tuan pegawai daerah tiba dan disambut oleh Guru Besar
- dimulakan dengan perbarisan lintas hormat
- merasmikan temasya

Perenggan ke-4
- acara sukan dilangsungkan
- berjalan lancar dan teratur
- rehat pada pukul 10.00 pagi sebelum disambung semula
-  larian 400 meter menjadi acara kemuncak
- acara selesai; penyampaian hadiah dilakukan oleh pegawai pendidikan daerah
-      
Penutup  
- rumah kuning johan keseluruhan
- temasya tamat
- hadirin menghadiri jamuan di kantin sebelum bersurai

** ** ** ** ** **


Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Pada 14 Mac 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan termasya sukan yang ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja sekolah, guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah sukan, bendera Negeri Pahang dan Jalur Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah astaka. Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi disambut oleh Guru Besar sekolah iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh serta Pengerusi PIBG. Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Pegawai Pendidikan Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00 pagi dan disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi acara kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah disampaikan oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar.

Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning. Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua hadirin dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin.


Laporan disediakan oleh,                                                                                     16 Mac 2010


..............................................................
(Nur Rafhanah Izzah binti Ahmad Zaidee)


*** *** *** *** ***





Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Jamilah dan Rafhanah Izzah dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Tahunan Kelab Alam Sekitar


Kamu sebagai Setiausaha Kelab Alam Sekitar diminta menyediakan laporan tahunan persatuan tersebut. Tuliskan laporan kamu selengkapnya.

*** *** *** *** ***

Laporan Tahunan Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang, 2010

Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah ditubuhkan pada tahun 2008. Sehingga hari ini seramai 45 orang ahli berjaya didaftarkan yang terdiri daripada murid-murid Tahap Dua. Sepanjang penggal pertama persekolahan tahun 2010, kelab ini telah mengadakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan dan mencantikkan kawasan sekolah. Kawasan yang terlibat ialah padang, taman sains dan bilik darjah.

Pada penggal kedua pula, kelab ini telah mengadakan "Kempen Kitar Semula". Kempen ini bertujuan mengumpulkan sebanyak mungkin barang-barang terpakai seperti botol-botol kaca, barang-barang plastik, surat khabar dan lain-lain untuk dikitar semula. Selain dapat memelihara alam sekitar, aktiviti ini juga telah menambahkan tabungan kelab hasil jualan barang-barang terpakai tersebut kepada kedai kitar semula. Kempen ini telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang.

Pada 16 Jun 2010, Kelab ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pusat kitar semula di Shah Alam. tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan ahli kelab tentang bagaimana menguruskan barang terpakai untuk dikitar semula. 

Manakala pada 18 Ogos 2010, kelab ini telah mengadakan pertandingan reka cipta dengan mengunakan bahan-bahan terbuang. Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat kreativiti murid-murid dalam menghasilkan sesuatu ciptaan daripada barang-barang tersebut. Pertandingan ini telah mendapat sambutan hangat daripada ahli-ahli kelab serta para pelajar.

Semua ahli kelab berharap kelab ini akan lebih aktif pada masa hadapan. Jika sekiranya ahli-ahli kelab menghadapi sebarang masalah, mereka diharap segera mengemukakan masalah itu untuk dibincangkan dan diselesaikan bersama-sama dengan guru penasihat dan ahli jawatan kuasa Kelab Alam Sekitar.


Laporan disediakan oleh,                                                                         15 Disember 2010


.................................................
(Ahmad Naim Safwan bin Sufian)
Setiasaha,
Kelab Alam Sekitar.
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


*** *** *** *** *** 



Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Husain dan Naim dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Bulan Merdeka 2010

Laporan Bulan Merdeka 2010 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

            Pada 1 hingga 30 Ogos  2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan Bulan Merdeka. Tujuan bulan ini diadakan adalah untuk menanamkan rasa kecintaan murid-murid kepada negara.

            Pada minggu pertama, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan aktiviti mewarnakan bendera Jalur Gemilang. Murid-murid Tahap Satu dan Tahap Dua telah menyertai aktiviti ini. Bendera yang siap diwarnakan dipasang atau digantung di beberapa tempat seperti di pagar sekolah. Sekolah Kebangsaan Seri Tualang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi bendera-bendera Jalur Gemilang ini.

            Pada minggu kedua, pementasan drama telah diadakan. Drama ini bertajuk ‘Warga Merdeka’. Drama ini dicipta dan diarahkan oleh Cikgu Hamidi Wahid. Drama ini telah melahirkan perasaan cinta pelajar kepada negara.

             Pada minggu ketiga, satu pameran tentang tokoh-tokoh telah diadakan di perpustakaan sekolah. Antara wajah perjuang negara yang dipamerkan ialah Tunku Abdul Rahman, Dato’ Hussien Onn, Dr. Burhanudin bin Helmi dan lain-lain lagi.

             Pada minggu keempat, Larian Merdeka telah diadakan. Larian ini sejauh 3 kilometer. Murid-murid berlari sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan kalimat keramat 'Merdeka!'.

             Murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tualang berasa sangat gembira kerana dapat menjayakan Bulan Merdeka. Sesungguhnya Bulan Merdeka yang diadakan telah dapat melahirkan atau menambahkan rasa cinta murid-murid kepada negara.

Laporan disediakan oleh,                                                                                       2 September 2010


.....................................
(NUR ANIS NATASYA BINTI ALWI)

********************************************* 





Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Anis Natasya dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Pelancaran Kempen Bulan Membaca Sekolah Kebangsaan Seri Tualang.

Sekolah kamu telah mengadakan Kempen Bulan Membaca peringkat sekolah. Tuliskan laporan tentang pelancaran kempen tersebut.

***   ***   ***   ***   ***

Pelancaran Kempen Bulan Membaca Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

             Pada 25 Julai 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan "Kempen Bulan Membaca" peringkat sekolah. Pelancaran ini telah diadakan di dewan sekolah. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk meningkatkan minat membaca di kalangan murid-murid.

             Majlis pelancaran ini diadakan pada pukul 8.00 pagi. Majlis ini dimulakan dengan perhimpunan dan ucapan perasmian daripada guru besar sekolah kami iaitu Encik Awang Satip b. Mat Salleh.

             Pada pukul 8.45 pagi, pertandingan bercerita oleh murid-murid tahap 1 telah diadakan. Pertandingan bercerita ini telah dimenangi oleh Nurul Wahida. Selepas itu, pertandingan berpidato telah diadakan yang disertai oleh murid-murid tahap 2. Pertandingan ini telah dimenangi oleh Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi.

             Kemudian, acara melepaskan belon yang tertulis "Mari Membaca" diadakan pada pukul 10.00 pagi sebagai tanda pelancaran kempen tersebut. Selepas itu, diikuti pula dengan pertandingan kuiz yang disertai oleh murid-murid tahap 1 dan 2. Bagi pelajar Tahap 1, pertandingan itu dimenangi oleh Siti Hajar, manakala pelajar Tahap 2 pula ia dimenangi oleh Husain.

             Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada pukul 11.30 pagi. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh guru besar sekolah kami kepada para pemenang. Selepas itu, murid-murid dijemput ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan.

Laporan disediakan oleh,                                                                                                     27 Julai 2009

..........................................
(Shamsul b. Kamal)

Laporan: Laporan Lawatan Sekolah Kebangsaan Seri Tualang ke Melaka

Kamu telah mengikuti lawatan ke suatu tempat yang menarik. Tuliskan satu laporan tentang lawatan tersebut.

***   ***   ***   ***   ***

Pada 24 Ogos 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah. Ahli rombongan kami terdiri daripada 40 orang murid dan 5 orang guru pengiring. Kami pergi dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman murid-murid berkaitan tempat-tempat bersejarah dan menarik di negeri Melaka. Kami diminta berkumpul di dataran sekolah seawal pukul 6.45 pagi untuk mendengar taklimat ringkas yang di sampaikan oleh Cikgu Manap. Selepas itu, kami bertolak ke sana pada pukul 7.00 pagi dan kira-kira tiga jam kemudian, kami berhenti sebentar di Pekan Bahau untuk bersarapan. 

Kami tiba di Zoo Melaka pada pukul 12.00 tengah hari. Kami dapat melihat pelbagai jenis hidupan liar di situ seperti harimau, gajah dan lain-lain lagi. Kami berasa amat gembira kerana dapat melihat sendiri gelagat haiwan liar yang sukar ditemui itu.

Selepas itu, kami pergi pula ke Taman Buaya, pelbagai jenis buaya terdapat di sini seperti buaya tembaga, buaya katak dan lain-lain lagi. Kemudian, pada pukul 1.30 petang, kami pergi ke Taman Rekreasi Air Keroh untuk makan tengah hari.

Pada pukul 2.00 petang, kami pergi ke Tugu A Famosa. Kami melihat tinggalan sejarah di Zaman Penjajahan Portugis di Melaka dahulu. Banyak gerai yang menjual pelbagai cenderamata dibuka di sini. Ramai murid dan guru tidak melepaskan peluang untuk membeli cenderamata-cenderamata di situ sebagai tanda kenangan.

Pada pukul 4.00 petang, kami telah diberi peluang masuk dan melihat sendiri Model Kapal Perang Portugis yang pernah menyerang Melaka dahulu. Selain itu juga, kami dapat menaiki Menara Taming Sari yang membolehkan kami melihat serata Bandaraya Melaka. Pelbagai perasaan dapat kami rasai semasa menaiki menara ini seperti cemas, gembira, kagum dan sebagainya.

Pada pukul 5.00 hingga 6.00 petang, kami singgah pula di sebuah pasar raya besar di bandaraya ini. Di pasar raya ini, terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan tertentu seperti pakaian, alat-alat elektronik, dan sebagainya.

Selepas itu, kami bertolak balik ke Temerloh. Kami singgah di Masjid Negeri Melaka untuk sembahyang dan makan malam. Kami tiba di sekolah kami pada pukul 12.00 malam. Kami berasa gembira kerana dapat melawat pelbagai tempat yang menarik semasa lawatan tersebut. Kami berharap agar pihak sekolah akan mengadakan lawatan lagi.

Laporan disediakan oleh.                                                 30 Ogos 2009


.........................................
(Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi)

Laporan: Lawatan Ke Kilang Minuman



Lawatan Ke Kilang Minuman

Pada 16 November 2009, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan lawatan ke Kilang Minuman Pepsi di Petaling Jaya, Selangor. Rombongan ini disertai oleh 30 orang ahli Persatuan Bahasa Melayu dan 4 orang guru pengiring.

Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan murid-murid tentang proses membuat air minuman berkarbonat. Di samping itu, lawatan ini juga untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan murid-murid.

Kami bertolak dari sekolah kira-kira pada pukul 8.00 pagi dengan sebuah bas yang disewa khas. Kami tiba ke kilang itu pula kira-kira pada pukul 10.30 pagi dengan disambut oleh beberapa orang pegawai kilang tersebut. Selepas itu, kami diberi taklimat ringkas tentang kilang tersebut oleh salah seorang daripada mereka.

Kemudian, kami dibawa melawat ke beberapa bahagian memproses minuman. Kami dapati sebahagian besar kerja memproses minuman itu dilakukan oleh mesin-mesin berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang ini memakai pakaian seragam yang berwarna biru serta sarung tangan ketika bertugas. Kami diberi peluang oleh pihak kilang untuk mengemukan soalan tentang proses membuat minuman berkarbonat. Ramai peserta yang mengemukan soalan untuk mengetahui maklumat tentang memproses minuman itu.

Pada pukul 1.00 petang, kami dijemput untuk makan tengah hari di kantin kilang itu. Kami juga diberi setin minuman setiap seorang sebagai cenderahati. Sebelum bertolak balik, ketua guru pengiring kami iaitu Cikgu Ain telah memberi cenderamata kepada pengurus kilang tersebut sebagai tanda penghargaan kerana membenarkan kami melawat kilang itu. Kira-kira pukul 2.00 petang, kami bertolak ke sekolah semula dan sampai kira-kira pukul 5.00 petang. Walaupun hanya beberapa jam melawat kilang itu tetapi kami gembira kerana banyak pengetahuan baru diperoleh.


Laporan disediakan oleh:                                                                        19 November 2009


------------------------------
(Nik Syukri b. Nik Sabri)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Laporan: Laporan Aktiviti Menceria dan Mengindahkan Kawasan Sekolah

Sekolah kamu baru sahaja mengadakan aktiviti menceriakan dan mengindahkan sekolah. Tulis laporan tentang aktiviti tersebut.


***   ***   ***   ***   ***

Gotong-royong Menceria dan Mengindahkan SK Seri Tualang

Pada 9 Ogos 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan gotong-royong menceriakan dan mengindahkan kawasan sekolah.  Aktiviti ini disertai oleh murid-murid Tahun 4, 5, 6, guru-guru, pekerja, dan kakitangan sekolah.

    Pada pukul 8.00 pagi, guru ko-korikulum kami iaitu  Cikgu Razak telah memberikan taklimat kepada peserta tentang aktiviti yang akan dijalankan. Peserta telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh dua orang guru. Kumpulan pertama ditugaskan untuk mengecat pasu bunga dan menanam pokok bunga yang pelbagai jenis di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok bunga yang perlu ditanam ialah pokok bunga kertas, orkid, bunga matahari dan lain-lain lagi. Mereka juga perlulah mengecat pasu-pasu bunga dengan warna-warna yang menarik.

    Kumpulan kedua pula ditugaskan untuk membuat Taman Sains dan Hidroponik. Pelbagai jenis tanaman herba dan sayur-sayuran perlulah ditanam di taman ini seperti sireh, sawi, kacang botol dan lain-lain lagi. 

    Manakala, kumpulan ketiga pula perlu menyediakan pelbagai papan tanda khas. Antara papan tanda yang mestti disediakan ialah melabel nama pokok, nama bangunan dan nama taman.

    Pada pukul 10.00 pagi, kami berehat dan menikmati minuman dan juadah kuih-muih di kantin sekolah. Juadah ini disediakan oleh pihak sekolah. Setengah jam kemudian, iaitu pada pukul 10.30 pagi, kami menyambung semula aktiviti gotong-royong itu.

    Aktiviti menceria dan mengindahkan kawasan sekolah ditamatkan pada pukul 12.00 tengah hari setelah semua tugas selesai disiapkan oleh setiap kumpulan. Kini, SK Seri Tualang tampak lebih cantik dan ceria. Sebelum bersurai, murid-murid dan guru-guru dijemput menikmati makan tengah hari di kantin sekolah. Kami sungguh gembira kerana dapat menyertai aktiviti ini dan berharap aktiviti ini dapat diadakan lagi.



Laporan disediakan oleh,                                                                                 21 OGOS 2009

......................................
(HASIF ZAKWAN BIN MOHD HAMIDI)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut