Memaparkan catatan dengan label Temu Ramah/Dialog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Temu Ramah/Dialog. Papar semua catatan

Temu ramah/Dialog: Ingin mengetahui perkembangan di sekolah.


Ingin Mengetahui Perkembangan di Sekolah.


Kamu tidak datang ke sekolah. Kamu menghubungi rakan kamu untuk mengetahui perkembangan di sekolah.

Hassan : Hello, Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Husin? Saya Hassan.

Husin : Ya, Waalaikummussalam. Husin sedang bercakap. Oh, kamu Hassan! Awak apa khabar, Hassan?

Hassan : Alhamdulillah, saya sihat. InsyaAllah esok saya akan bersekolah. Sebenarnya saya ingin mengetahui perkembangan di sekolah setelah saya tiada di sekolah selama dua hari ini.

Hussin: Oh, begitu hajat kamu! Petang semalam sekolah kita telah menjadi johan dalam Pertandingan Bola Sepak Daerah Temerloh. Pasukan bola sepak sekolah kita akan mewakili Daerah Temerloh untuk pertandingan bola sepak di peringkat negeri nanti.

Hassan : Alhamdulillah! Tahniah!. Bagaimanakah pula dengan kerja rumah? Adakah kerja rumah yang perlu kita siapkan?

Hussin : Esok, guru Sains kita meminta murid-murid membawa sama ada sekeping roti atau nasi atau biskut untuk mengkaji pertumbuhan kulat. Kamu pilihlah satu bahan daripada tiga bahan tadi untuk dibawa ke sekolah esok.

Hassan : Bagaimana pula dengan mata pelajaran yang lain? Adakah kerja rumah yang perlu disiapkan?

Hussin : Tiada, Hassan. Esok guru Bahasa Inggeris dan guru Matematik kita akan berkursus. Mereka tidak datang ke sekolah, esok. Macam biasalah, waktu mereka itu akan diganti oleh cikgu lain.

Hassan : Terima kasih, Hussin kerana memberitahu saya perkara-perkara tersebut. Bolehlah saya bersedia untuk belajar hari esok. Kita jumpa di sekolah esok ya.

Hussin : Sama-sama. InsyaAllah.


Temu ramah/Dialog: Membeli Ikan di Pasar.

 Tulis perbualan antara penjual ikan dan pembeli ikan semasa hendak membeli ikan pada hari itu.


Penjual Ikan : Assalamulaikum, encik.

Pembeli : Waalaikummussalam. Apakah ikan yang encik jual hari ini?

Penjual ikan : Saya menjual ikan seperti ikan bawal, ikan selar, ikan kembung, ikan bawal, ikan cencaru, ikan tenggiri dan ikan parang. Udang dan ketam pun ada.

Pembeli: Banyak juga ikan yang awal jual hari ini. Ikan pun kelihatan masih segar.

Penjual ikan : Maklumlah, ikan ini semuanya baru sampai dari laut. Tentulah masih segar. Apakah ikan yang encik mahu? Pilihlah. 

Pembeli : Timbangkan saya dua ekor ikan tenggiri ini. Berapa harganya untuk sekilo?

Penjual ikan : Baiklah. Berat dua ekor ikan tenggiri ini tiga kilogram. Harganya RM12 sekilo.

Pembeli : Wah, agak mahal harga ikan hari ini ya!

Penjual ikan : Harga ikan sekarang mahal sedikit kerana sekarang ini musim tengkujuh. Nelayan-nelayan takut untuk turun ke laut kerana keadaan ombak yang ganas dan tinggi.

Pembeli : Oh, itulah sebabnya! Baiklah. Kalau begitu, bungkuskan ikan-kan tenggiri yang ditimbang tadi. Saya setuju untuk membeli semuanya.

Penjual ikan : Wah, banyaknya awak beli ikan hari ini! Buat kendurikah?

Pembeli : Tidak, saya hanya mahu menyediakan makanan kepada saudara saya yang akan datang pada tengah hari ini. Nah, ini duit harga ikan ini! Betulkah jumlahnya?

Penjual ikan : Betul encik. Saya jual. Terima kasih ya.

Pembeli : Sama-sama.




Temu Ramah/Dialog: Lawatan ke Kuala Lumpur

Ketika menunggu bas sekolah, kamu berbual dengan rakan kamu tentang lawatannya baru-baru ini.

Tulis perbualan tersebut kira-kira 80 patah perkataan.

**********************************     

Aiman : Assalamualaikum, Adli! Apa khabar?

Adli    : Waalaikumussalam! Alhamdulillah, saya baik sahaja. Awak pula bagaimana?

Aiman : Patutlah saya nampak awak ceria sahaja. Saya juga sihat seperti biasa.
             Adli! Awak pergi mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur baru-baru inikan?

Adli     : Ya! Saya pergi ke sana pada hari Sabtu minggu lepas.

Aiman : Seronoklah melawat ke sanakan? Saya juga sangat berminat untuk melawat
              ke tempat-tempat menarik di sana tetapi sayangnya masih belum berpeluang.
              Bagaimana awak boleh mengikuti rombongan tersebut?

Adli      : Rombongan ini dianjurkan oleh Kelab Komputer sekolah kita. Oleh sebab saya
                ahli kelab tersebut, saya dapatlah menyertainya.

Aiman    : Oh, begitu rupanya! Bagaimanapun kenapa abang saya dari Kelab Bahasa Melayu
                 juga turut menyertai rombongan itu?

Adli       : Abang awak yang belajar di kelas 6 Amanah itu ya? Dia boleh menyertai rombongan
                itu kerana dia pelajar Tahap 2. Ini kerana selain daripada Ahli Kelab Komputer,
                sesiapa daripada Tahap 2 yang berminat menyertai rombongan tersebut juga turut
                 ditawarkan. Bagaimanapun tawaran itu terhad kepada 12 orang sahaja bagi
                 memenuhi kekosongan bas.

Aiman     : Apa tujuan rombongan itu diadakan, Adli?

Adli         : Tujuan rombongan ini diadakan untuk mendedahkan ahli kelab tentang sains
                   dan teknologi maklumat serta melawat tempat-tempat yang menarik seperti Petrosains
                   dan sebagainya lagi.

Aiman      : Ramaikah yang menyertai rombongan tersebut?

Adli          : Seramai 40 orang sahaja, termasuklah 4 orang guru pengiring.

Aiman        : Berapakah yang perlu dibayar untuk menyertai rombongan ini?

Adli           : Tidaklah mahal sangat cuma RM60 sahaja termasuk makan dan minum serta
                     tiket lawatan.

Aiman        : Kamu melawat ke mana semasa rombongan tersebut?

Adli            : Antara tempat yang kami lawati ialah Putrajaya, Menara Berkembar Petronas,
                     Petrosains, Menara Kuala Lumpur dan Zoo Negara.

Aiman         : Seronoknya kamu ya, Adli? Entah bilalah saya pula berpeluang melawat ke sana!

Adli            : Saya fikir tahun depan lawatan seperti ini akan diadakan lagi.
                      Mudah-mudahan awak berpeluang ke sana nanti.

Aiman         : Harap-harap begitulah. Itupun bas. Mari kita pulang!

Adli            : Baiklah!

Temu Ramah/Dialog: Faedah-faedah Membaca.

Amar : Assalamualaikum…!

Aini    : Waalaikummussalam…! Eh, Amir! Ingatkan siapa tadi. Duduklah…

Amar : Terima kasih. Awak baca buku apa tu…

Aini : Saya baca buku agama bertajuk ‘Bukti-bukti Kebesaran Allah’. Banyak kebaikannya
         membaca buku ini. Antaranya, saya dapat merasai keimanan saya semakin meningkat.

Amar : Baguslah! Dengan membaca, pengetahuan kita tentu akan bertambah. Sebab itulah
           kebanyakan orang yang rajin membaca akan berjaya dalam bidang yang diceburi
           mereka.

Aini : Kenapa pula awak datang ke sini, Amar?

Amar : Sebenarnya saya memang sengaja datang ke sini kerana ingin berbual-bual sahaja
           sebagai mengisi masa lapang saya sekarang…

Aini : Oh, begitu! Kenapa awak tidak isikan masa lapang tersebut dengan membaca buku-buku.
         Dapatlah masa lapang itu diisi dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah.

Amar : Betul Aini. Tapi… saya rasa berbual-bual dengan awak pun perkara yang berfaedah juga.
           Kita boleh berbual tentang pelajaran dan sebagainya.

Aini : Eem… betullah tu, tetapi jika hanya berbual kosong, lebih eloklah kita membaca buku.
         Melalui membaca juga, pembendaharaan kata kita akan semakin bertambah.Maaf, boleh
         saya bertanya, markah kertas ujian karangan kamu baru-baru ini berapa?

Amar : Eh, malulah nak cakap! Saya cuma mendapat 65 peratus sahaja. Saya rasa susahlah nak
           buat karangan tu. Awak pula bagaimana?

Aini : 95 peratus! Dahulupun saya macam awak juga tetapi setelah saya selalu membaca, saya
         berasa lebih mudah untuk membina ayat dalam karangan. Awak selalulah membaca,
         mungkin awak akan mendapat markah yang lebih tinggi nanti.

Amar : Betul juga cakap awak. Selepas ini saya akan cuba isikan masa lapang saya dengan
           membaca buku.

Aini : Baguslah macam itu. Saya harap awak akan berjaya. Lagipun membaca juga dapat
         menghiburkan kita tau. Banyak buku cerita yang boleh menghiburkan kita di pasaran
         sekarang seperti majalah ‘Kuntum’ dan sebagainya.

Amar : Saya selalu terlihat majalah yang memaparkan model seksi di muka depannya dijual
           di gerai-gerai buku. Saya berasa janggallah untuk membelinya.

Aini : Amar! Amar! Bukan semua majalah sesuai untuk kita membacanya. Pilihlah majalah yang
         baik yang boleh meningkat ilmu pengetahuan kita. Bukannya majalah yang menyebabkan
         kita berbuat dosa.

Amar : Terima kasih Aini atas nasihat awak. Eloklah saya pulang dahulu. Hari pun sudah semakin
           senja.

Aini : Baiklah.

Temu Ramah/Dialog: Tolong beritahu Kerja Rumah Yang Perlu Saya Buat


Tolong Beritahu Kerja Rumah Yang Perlu Saya Buat

Aqilah  : Hello, boleh saya bercakap dengan  Farhan?

Farhan : Ini  Farhan bercakap. Siapa disana?

Aqilah  : Saya  Aqilah. Assalamualaikum  Farhan!

Farhan : Walalaikummussalam! Oh, awak Aqilah! Mengapa awak tidak hadir ke kelas tambahan
             semalam?

Aqilah  : Saya mengikuti ibu saya menghantar abang saya ke MRSM di Kuala Lipis. Jadi, saya tidak
             dapat menghadiri kelas tambahan semalam.

Farhan : Oh, begitu rupanya!

Aqilah  : Siapakah yang mengajar semasa kelas tambahan semalam?

Farhan : Cikgu Hamidi dan Cikgu Azizul yang mengajar kami semasa kelas tambahan semalam.

Aqilah  : Apakah ada kerja rumah yang diberi oleh Cikgu Hamidi dan Cikgu Azizul?

Farhan : Ya, ada! Kerja yang dibekalkan oleh Cikgu Hamidi ialah membuat karangan yang bertajuk  
             "Keluarga Saya", manakala Cikgu Azizul pula meminta semua pelajar membuat latihan 
             dalam buku kerja di halaman 52 .

Aqilah  : Terima kasih kerana memberitahu saya tentang kerja rumah yang perlu dilakukan. 
             Baiklah, bolehkah pada pukul 5.00 petang ini saya datang ke rumah awak untuk membuat ulangkaji
             pelajaran bagi menghadapi ujian pengesanan pada minggu hadapan.

Farhan : Sama-sama. Silalah datang! Saya akan menunggu awak pada pukul 5.00 petang nanti.


** ** ** ** **

Terima kasih. 
Contoh laporan ini telah disalin oleh: Adik Nur Aqilah dan Farhana Shafiqah
dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada 20 April 2012

Temu Ramah/Dialog: Kejohanan Silat Olahraga Peringkat Negeri Pahang



Wartawan: Assalamualaikum, Cik Nurul.

Nurul       : Waalaikumussalam.

Wartawan: Tahniah saya ucapkan atas kejayaan Cik Nurul dalam Kejohanan Silat Olahraga
                 Peringkat Negeri Pahang ini.

Azura      : Terima kasih. Sebenarnya kejayaan ini menjadi milik pesilat-pesilat yang lain dan
                 jurulatih saya juga. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa memberikan dorongan dan
                 semangat kepada saya dari masa ke masa bagi meningkatkan prestasi.

Wartawan: Bagaimanakah perasaan Cik Nurul apabila berjaya dalam perlawanan akhir itu?

Nurul       : Saya seolah-olah tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang. Saya berasa
                 sangat gembira setelah berjaya dalam perlawanan akhir tersebut. Saya memang sentiasa
                 berwaspada dalam perlawanan itu kerana saya tahu, bukan mudah mengalahkannya.
                 Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga mengalahkannya.

Wartawan: Mengapakah Cik Nurul merasakan pesilat itu tidak mudah untuk dikalahkan?

Nurul       : Saya berasa demikian kerana pesilat itu adalah juara dalam pertandingan ini pada tahun
                 lepas.

Wartawan: Saya difahamkan bahawa Cik Nurul lebih suka berlatih dengan pesilat lelaki.
                 Mengapakah demikian halnya?

Nurul       : Saya menginginkan kelainan dalam latihan. Saya percaya bahawa cara itu akan
                 menjadikan diri saya lebih yakin apabila berhadapan dengan lawan yang lebih besar
                 tubuhnya.

Wartawan: Akhir sekali, apakah harapan Cik Nurul pada masa depan?

Nurul       : Saya berharap agar kejayaan saya ini akan menjadi titik tolak bagi saya dan rakan-rakan
                 pesilat yang lain untuk terus berjaya dalam mana-mana kejohanan yang lebih besar.

Wartawan: Baiklah CiK Nurul. Terima kasih kerana sudi untuk ditemu ramah.

Nurul       : Sama-sama.

Temu Ramah/Dialog: Anak berjaya

Kamu berpeluang menemuramah seorang bapa kepada sepasang anak kembar yang telah berjaya menjadi doktor perubatan, semasa majlis penyampaian ijazah di Universiti Malaya. Cuba buat satu temuramah itu dengan bertanyakan hal-hal yang berkaitan.

(Setelah memperkenalkan diri kamu , maka kamu mengemukan soalan -soalan kepada Encik Karim)

Murid       : Encik, sebenarnya bagaimana encik mengasuh kedua-dua anak kembar encik Faizul dan
                  Faizal hingga berjaya menjadi doktor ?

En. Karim : Oh ! Saya pun tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya. Hanya saya kira Tuhan
                  merestui kami sekeluarga.

Murid       : Boleh saya tahu bagaimana anak-anak encik ini belajar ?

En. Karim : Mmmmmmm, kalau fasal belajar , mereka memang sungguh berusaha. Hampir sepanjang
                  waktu mereka asyik dengan buku sahaja. Kalau menonton televisyen itu jarang sekali.
                  Kerap kali kalau menonton pun, mereka menonton siaran berita sahaja.

Murid       : Di mana mereka bersekolah ?

En. Karim : Kesemuanya bersekolah di Sekoleh Kebangsaan Seri Tualang. Kemudian, bersekolah
                  menengah di Sek. Men. Seri Tualang, Temerloh. Semuanya mendapat pangkat satu di
                  peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Semasa itulah mereka mendapat tawaran belajar di
                  Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Nah! Sekarang mereka sudah lulus dan menjadi
                  doktor.

Murid        : Apakah perasaan encik sekarang ?

En. Karim  : Sudah tentu gembira sekali. Kami sekeluarga bersyukur di atas kejayaan gemilang itu.

Murid        : Baiklah encik , saya berterima kasih kerana sudi melapangkan masa untuk ditemubual.

En. Karim  : Terima kasih kembali. ( Berjabat tangan dengan murid )

Temu Ramah/Dialog: Jangan menuduh tanpa usul periksa

Jangan Menuduh Tanpa Usul Periksa

Kawan kamu telah kehilangan duit. Dia menuduh orang lain tanpa usul periksa. Bagaimanakah cara kamu menasihatinya ? Tuliskan perbualan antara kamu berdua. (Kamu dan Azmi berada di sudut kantin sekolah)

Malim : Mengapa kamu bermuram saja, Azmi ? Apakah kamu ada masalah?

Azmi : Duit saya hilang sebanyak sepuluh ringgit, Malim.

Malim : Macam mana boleh hilang?

Azmi : Seingat saya, sebelum rehat saya telah letakkan duit itu di dalam beg. Semasa waktu rehat, saya ke kelas sebentar untuk mengambil duit saya yang tertinggal. Saya mengesyaki Tahir yang curi, sebab saya melihat dia sahaja yang ada di dalam kelas semasa saya datang tadi.

Malim : Bukankah cikgu selalu menasihati kita agar duit jangan ditinggalkan di dalam beg. Sekarang sudah hilang, mengapa pula menuduh dia tanpa usul periksa?

Azmi : Jika bukan Tahir, siapa lagi ? Saya pasti memang Tahir! Dia memang selalu dengkikan saya!

Malim : Jangan sesekali serkap jarang, Azmi. Buruk padahnya nanti. Jika bukan dia, bagaimana?  Malu kita nanti? Baik kita jumpa Cikgu Zaidi. Guru disiplin itu mungkin boleh membantu kita.

Azmi : Betul juga kata kamu, Malim. Mungkin saya tersilap menuduhnya. Saya berasa bangga mempunyai kawan macam kamu. Jom kita pergi jumpa Cikgu Zaidi!

Malim: Marilah.

Temu Ramah/Dialog: Sahabat Baik Saya

Andaikan bahawa anda menyertai pertandingan syarahan. Dalam pertandingan itu anda telah mendapat tempat kedua. Anda telah dikalahkan oleh peserta bukan melayu. Anda ingin mengucapkan tahniah dan menyatakan perasaan kagum anda akan kebolehannya. Tulislah dialog anda selengkapnya.

(Siva sedang asyik membaca sebuah buku cerita di perpustakaan sekolah)

Azman : Tahniah! Siva, kerana kamu berjaya dalam pertandingan syarahan itu.

Siva     : Terima kasih. Saya berharap supaya kejayaan ini akan menaikkan semangat pelajar-pelajar
             bukan Melayu yang lain untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Azman : Saya kagum melihat kamu bersyarah pada hari ini. Setiap perkataan yang awak ucapkan jelas
             dan lancar. Bagaimanakah cara kamu mempelajari Bahasa Melayu ?

Siva     : Keluarga saya menggalakkan saya membaca buku-buku bahasa melayu yang bermutu. Di
             samping itu, saya selalu mempelajari tatabahasa. Saya selalu membuka kamus untuk
             mempelajari ejaan dan makna kata-kata yang saya baca. Saya melatih diri menggunakan
             bahasa baku apabila membaca atau bercakap.

Azman : Kalau begitu, tidak hairanlah apabila kamu berjaya mengalahkan saya dan beberapa pelajar
             Melayu yang lain dalam pertandingan itu. Saya malu, Siva!

Siva     : Mengapa ?

Azman : Selama ini saya menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah kerana itu adalah
             bahasa ibunda saya. Rupa-rupanya saya silap.

Siva     : Baguslah, Azman, kalau kamu sudah sedar. Sama-samalah kita belajar menguasai Bahasa
             Kebangsaan Negara kita.

Azman : Ya, baiklah, Siva...

Temu Ramah/Dialog: Kejayaan Amira

Kejayaan Amira

Amira  : Selamat pagi, Ainnur. Silakan duduk.

Ainnur : Terima kasih. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudari kerana telah terpilih sebagai Murid Cemerlang.

Amira  : Terima kasih. Saya berasa bersyukur atas kejayaan saya ini. Apakah tujuan awak datang ke sini?

Ainnur : Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menemu ramah saudari.

Amira  : Boleh, apa salahnya.

Ainnur : Siapakah yang banyak mendorong saudari untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik?

Amira  : Orang yang banyak membantu saya tentulah guru-guru dan ibu bapa saya. Jadi, mereka jugalah yang banyak mendorong saya mencapai kejayaan ini.

Ainnur : Bagaimanakah saudari boleh terpilih sebagai murid cemerlang?

Amira  : Saya tidak pasti tetapi mungkin kerana saya selalu mendapat keputusan yang baik dalam ujian dan peperiksaan termasuk peperiksaan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini. Selain itu, saya banyak mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan termasuklah pertandingan diperingkat daerah dan negeri. Di samping itu juga, saya tidak pernah terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.

Ainnur : Oh, kalau begitu memang selayaknya kamu dipilih sebagai murid cemerlang! Apakah nasihat saudari kepada rakan-rakan yang ingin berjaya dalam pelajaran?

Amira  : Nasihat saya kepada rakan-rakan supaya mendengar nasihat guru dan ibu bapa serta menumpukan perhatian semasa guru mengajar.

Ainnur : Terima kasih atas kesudian saudari untuk ditemu ramah.

Amira  : Sama-sama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut