Autobiografi: Aku Sebuah Televisyen

Kerangka Karangan

-Dilahirkan di sebuah kilang Panasonic di Shah Alam.
-Dihantar ke sebuah kedai elektrik di Kuala Lipis.
-Dipamerkan di dalam almari kaca.
-Dibeli oleh seorang lelaki.
-Diletakkan di ruang tamu rumahnya.
-Aku digunakan dengan lasak setiap hari.
-Rosak akibat petir.
-Dibuang


Contoh Karangan

                                                             
Aku Sebuah Televisyen

          Aku dilahirkan di sebuah kilang televisyen Panasonic di Shah Alam. Badanku berbentuk leper dan kebanyakan bahagian badan ku diperbuat daripada plastik. Aku dicipta untuk membolehkan manusia menonton berita, cerita dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka sering menggunakan aku untuk berhibur. Oleh itu, ramai manusia ingin memiliki aku untuk berhibur semasa mereka di rumah, di warung-warung dan sebagainya.

          Setelah aku dan rakan-rakan selesai dipasang dan diuji, kami diletakkan di dalam sebuah kotak yang selesa untuk dihantar ke kedai-kedai elektrik di seluruh Malaysia. Aku dihantar ke sebuah kedai di Bandar Kuala Lipis, Pahang. Kemudian, aku dipamerkan di dalam almari kaca di kedai tersebut.

          Setiap kali pengunjung datang ke kedai itu, mereka pasti akan melihat-lihat aku. Ramai yang bertanya tentang hargaku dan memuji-muji akan kecantikan dan kecanggihan aku. Walau bagaimanapun, mereka tidak membeliku kerana hargaku agak mahal.

          Pada suatu hari, aku dikunjungi oleh seorang lelaki muda. Dia sangat meminatiku lalu cuba tawar-menawar dengan tuan kedai untuk membeliku. Akhirnya dia bersetuju membeliku dengan harga RM3600.00.

          Selepas itu, aku dibawa balik ke rumahnya di Kampung Merapoh dan diletakkan di ruang tamu rumahnya. Aku lihat isteri  dan anak-anaknya sangat gembira memperolehi aku. Sejak dari hari itu, aku sering digunakan oleh mereka tanpa mengira waktu.

          Walaupun aku berasa sangat penat, namun aku terpaksa menunaikan tanggungjawabku menghiburkan mereka. Kadang-kadang aku terus dipasang walaupun pada waktu hujan dan kilat sambar-menyambar. Aku berasa sedih kerana mereka tidak memperdulikan akan keselamatan diriku.

          Pada suatu malam, aku terpadam secara tiba-tiba akibat disambar petir semasa mereka asyik menontonku. Aku telah dibawa ke kedai untuk dibaiki namun tidak berjaya kerana perutku telah hangus terbakar. Akhirnya aku dibuang ke tempat perlupusan sampah. Aku berasa amat sedih tetapi aku tetap berasa bangga kerana dapat juga aku membuat bakti menghiburkan keluarga tuanku semasa hidupku.








Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut