Kerangka Karangan
Pendahuluan
-Nama
-Alamat
-Tarikh
-Kata-kata aluan dan bertanya khabar
Isi-isi
1. Mengucapkan tahniah kepada sahabat kerana kejayaannya
-berita kejayaannya diperolehi daripada salah seorang sahabat.
2. Melahirkan rasa gembira atas kejayaannya itu.
3. Menyatakan kamu memang sudah menjangkakan kejayaan tersebut kerana dia dilihat memang berbakat sejak dari mula.
–Suka bercerita dan ramai orang suka mendengar ceritanya
4. Berharap dia terus aktif dan berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan di peringkat yang lebih tinggi.
Penutup
-Berharap dapat menghubung selalu agar bersahabatan terus erat dan berkekalan.
-Tanda tangan
Contoh Karangan
Wan Muhammad Faris
Taman Tualang Indah
Mentakab, Pahang.
20 April 2015
Menemui sahabat ku Farah yang berada di Sekolah Kebangsaan Merapoh, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Syukur, saya serta keluarga di sini sihat walafiat.
Saudari,
Sudah lama saya tidak mendengar berita daripada saudari semenjak saya bertukar ke Mentakab. Masih ingatkah saudari kapada saya?
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan saudari dalam pertandingan bercerita baru-baru ini. Saya mendapat berita tersebut daripada salah seorang sahabat kita iaitu Amirul yang kebetulan kami bertemu dalam satu majlis perkahwinan yang kami hadiri baru-baru ini.
Tahniah atas kejayaan saudari itu! Saya merasa amat gembira atas kejayaan saudari itu kerana saya memang berharap saudari menyertai pertandingan bercerita semasa kita sama-sama satu sekolah dahulu lagi. Ini kerana saya yakin saudari boleh memenangi pertandingan bercerita berdasarkan kepetahan saudari bercerita di kelas dahulu.
Kejayaan saudari ini memang tidak menghairankan kerana saudari memang pandai bercerita. Saudari sangat berbakat dalam bercerita. Sebab itulah kawan-kawan amat suka mendengar cerita saudari apabila saudari bercerita di dalam kelas dahulu. Antara cerita menarik saudari yang masih saya ingat ialah Kisah "Sesat di Pulau Tioman".
Untuk memperoleh kemenangan tersebut bukanlah sesuatu perkara yang mudah tanpa bakat dan usaha yang bersungguh-sungguh. Saya amat menghargai usaha yang telah saudari buat dan berharap saudari teruskan usaha tersebut dengan lebih giat lagi. Saya mendoakan agar saudari mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pertandingan bercerita di peringkat yang lebih tinggi pada suatu hari nanti.
Sampai di sini sahaja coretan saya untuk kali ini. Akhir kata sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudari sekeluarga. Semoga kita dapat terus berhubung dari masa ke semasa dan dapat bertemu nanti.
Sekian, Terima kasih.
Sahabat Mu
Faris
Tiada ulasan:
Catat Ulasan