Kelebihan Membawa Bekalan ke Sekolah.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Kelebihan Membawa Bekalan ke Sekolah".
Hadirin sekalian,
Antara kelebihan membawa bekalan ke sekolah ialah makanan kita akan terjamin kebersihannya kerana dimasak oleh ibu atau keluarga kita sendiri. Apabila makanan kita bersih, kita akan terhindar daripada keracunan makanan atau pelbagai penyakit seperti cirit-birit, sakit perut dan lain-lain lagi.
Selain itu, membawa bekalan makanan ke sekolah juga dapat menjimatkan wang. Kita tidak perlu lagi membeli makanan di kantin. Wang yang diberi oleh ibu bapa kita boleh disimpan di dalam tabung. Kita boleh menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain seperti membeli buku, alat tulis, dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung, kita dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kita.
Di samping itu, membawa bekalan ke sekolah akan membolehkan kita bertukar-tukar makanan dengan kawan-kawan. Justeru, kita dapat mengeratkan hubungan persahabatan antara rakan-rakan.
Seterusnya, kita akan lebih selesa apabila membawa bekalan makanan ke sekolah. Hal ini disebabkan kita tidak perlu lagi beratur membeli makanan di kantin. Hal ini tentu dapat menjimatkan masa dan kita akan mendapat waktu rehat yang lebih panjang.
Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar membawa bekalan makanan ke sekolah kerana banyak kelebihannya seperti yang saya terangkan tadi.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan