Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Tuliskan sebuah karangan tentang langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran.
*** *** *** *** ***
Pelajaran amat penting kepada para pelajar. Pelajaran dapat menjamin masa depan pelajar dalam apa juga bidang yang mereka minati. Oleh itu, pelajar haruslah belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka berjaya pada masa hadapan.
Antara langkah-langkah untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran ialah berniat atau berazam memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Keazaman yang tinggi akan mendorong pelajar berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.
Seterusnya pelajar hendaklah menumpukan perhatian semasa guru mengajar bagi memastikan mereka faham akan apa yang dipelajari di kelas. Mereka juga mestilah segera bertanya guru jika tidak faham akan sesuatu topik pelajaran supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.
Selain itu, pelajar haruslah membuat jadual waktu di rumah bagi memastikan mereka dapat menggunakan masa seperti yang dirancang. Apabila pelajar pandai membahagikan masa, ini akan membantu mereka berjaya dalam pelajaran.
Di samping itu, jagalah kesihatan dengan mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat supaya pelajar sentiasa berkeadaan cergas dan cerdas. Kesihatan yang baik akan memudahkan pelajar memahami apa yang dipelajari.
Dalam pada itu, disiplin diri juga menjadi faktor kejayaan seseorang pelajar dalam pelajaran. Pelajar yang berdisiplin akan membolehkan mereka berjaya dalam pelajaran kerana mereka tidak terjerat dengan pelbagai masalah disiplin yang boleh menggangu mereka dalam pelajaran.
Kesimpulannya pelajaran amat penting kepada para pelajar. Orang yang berilmu sudah tentu akan dipandang mulia. Oleh itu, kita mestilah mengikut langkah-langkah yang betul untuk berjaya dalam pelajaran.
1 ulasan:
bagus terima kasih sapa yg buat ini banyak manfaat
Catat Ulasan