Cerita: Langgar lari


Pada suatu petang, aku dan jiranku Amin bermain layang-layang di padang. Padang itu terletak berhampiran dengan rumahku. Aku ingin menaikkan layang-layang yang baru ayah beli semalam. Kebetulan pula waktu itu cuaca cerah serta angin bertiup kuat. Keadaan itu sudah tentu amat sesuai untuk kami bermain layang-layang.

Ketika kami sedang leka bermain layang-layang, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan dan jeritan di jalan raya yang terletak di hadapan rumahku. Aku segera menoleh ke arah bunyi itu. Aku melihat seorang nenek terjelepok di tepi jalan raya. Manakala, kelihatan sebuah motosikal memecut laju meninggalkan tempat itu. Rupa-rupanya seorang pemuda telah melanggar nenek itu dengan motosikalnya dan melarikan diri. Syukurlah, aku sempat mengecam nombor plat motosikal itu.

Tanpa berlengah lagi, kami segera berlari untuk menolong nenek itu. Kami cuba membantu nenek itu bangun tetapi dia menghalangnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan raya. Rupa-rupanya lutut dan tangannya telah tercedera dengan agak teruk. Kasihan sungguh melihat keadaannya, apatah lagi apabila dia mengerang dan merintih menahan sakit.

Aku meminta Amin mengutip barang-barangnya yang bertaburan, sementara itu aku pulang ke rumah untuk mendapatkan bantuan. Ayahku segera ke lokasi kejadian setelah aku memberitahunya. Kemudian, ayahku segera menelefon ambulan setelah mendapati kecederaan nenek itu agak parah. Ayahku juga berjanji akan memberitahu nombor plat motosikal itu kepada polis selepas nenek itu dihantar ke hospital nanti.

Sementara menunggu ambulan datang, ayahku dan beberapa orang lagi jiran kami mengawal lalu lintas di tempat kejadian. Kira-kira 20 minit kemudian, ambulan yang ditunggu pun tiba. Sebelum bergerak ke hospital, nenek itu sempat mengucapkan terima kasih kepada kami kerana banyak menolongnya.

Selepas itu, aku dan Amin bermain layang-layang semula. Aku berasa sungguh bersyukur kerana dapat menolong nenek itu hingga dia dihantar ke hospital. Aku berharap nenek itu segera sembuh dan dapat menjalani hidup kembali seperti biasa.

Bagaimanapun, hatiku juga berasa kecewa atas sikap yang tidak bertanggungjawab orang yang melanggar nenek ini. Mungkin dia terlanggar tanpa sengaja tetapi mengapa dia lari begitu sahaja tanpa memberi sedikitpun pertolongan kepada nenek itu. 

Sepatutnya dia harus mempunyai perasaan belas kasihan sesama makhluk. Jika diri sendiri diperlakukan seperti itu, apakah perasaannya? 

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

orang yang melanggar nenek itu tidak berhati perut

Tanpa Nama berkata...

pada suatu hari,,saya dan kawan saya telah pergi ke perpustakaan...Ketika itu,saya dan kawan saya membaca buku cerita bersama kawanku..tiba-tiba,,,saya telah mendengar salah seorang daripada kawanku..telah menjerit kerana sakit perut

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"

Pengikut