Cara-cara Menunggang Basikal dengan Selamat
Berbasikal ialah aktiviti yang menyihatkan dan menyeronokkan. Justeru, tidak hairanlah ramai orang yang memilih aktiviti berbasikal untuk bersukan atau beriadah. Walau bagaimanapun, kita mestilah mengetahui cara-cara menunggang basikal dengan selamat. Hal ini dianggap penting kerana banyak kemalangan berlaku semasa aktiviti berbasikal.
Sebelum menunggang basikal, kita mestilah memakai topi keledar, pad siku, dan pad lutut. Tindakan ini bertujuan untuk menyelamatkan anggota badan yang berisiko tinggi daripada tercedera teruk apabila berlaku kemalangan.
Seterusnya, kita janganlah bermain-main semasa menunggang basikal seperti sengaja melepaskan tangan daripada hendal basikal. Bermain-main semasa berbasikal boleh menyebabkan kita hilang kawalan ke atas basikal yang kita tunggangi. Apabila keadaan ini berlaku, tentulah boleh mengakibatkan kemalangan.
Selanjutnya, kita mestilah memastikan basikal kita dalam keadaan selamat untuk ditunggangi. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan kemalangan yang berpunca daripada masalah basikal yang kita tunggangi itu. Contohnya, brek basikal yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan kita gagal memberhentikan basikal di tempat yang sepatutnya sewaktu kecemasan.
Selain itu, semasa berbasikal kita haruslah menggunakan laluan khas basikal. Laluan tersebut disediakan untuk mengelakkan kita berlanggar dengan kenderaan lain.
Di samping itu, sewajarnya kita mengetahui cara menggunakan isyarat tangan. Apabila kita menggunakan isyarat tangan, pemandu kenderaan lain lebih mudah melihatnya. Justeru, kita dapat mengelakkan diri daripada kemalangan dengan kenderaan lain.
Sewajarnya kita mengikut arah laluan trafik semasa menunggang basikal di jalan raya. Tindakan ini akan mengurangkan risiko untuk kita bertembung dengan kenderaan lain.
Kesimpulannya kita mestilah mengamalkan tingkah laku yang selamat kerana pepatah ada mengatakan "Malang Tidak Berbau". Justeru, kita mestilah sentiasa berwaspada agar tidak mengalami kemalangan atau sekurang-kurang terselamat jika terlibat juga dalam sesuatu kemalangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan